[Video] Panahan petir di litar MotoGP Indonesia kejutkan penonton

[Video] Panahan petir di litar MotoGP Indonesia kejutkan penonton

 

Ribut petir dipercayai telah melanda kawasan perlumbaan MotoGP Indonesia 2022 di Litar Jalanan Antarabangsa Pertamina Mandalika sehingga menyebabkan perlumbaan tertangguh.

Menerusi video yang dimuatnaik di media sosial, panahan kilat dilihat berlaku di litar tersebut sebentar tadi sehingga mengejutkan orang ramai dan pelumba.

Dalam video itu, bunyi dentuman yang kuat dapat kedengaran apabila kilat ‘menyambar’ litar itu.

Panahan petir itu juga diiringi dengan hujan yang lebat sehingga memperlihatkan penonton seperti ‘tidak senang duduk’.

Perlumbaan tertangguh

Menurut laporan Speed Cafe, perlumbaan itu sepatutnya berlangsung pada jam 3.00 petang dan dijadualkan semula pada jam 3.10 petang. Namun, ia terus ditangguhkan apabila hujan mulai turun.

Kemas kini terakhir mengenai perlumbaan itu mengatakan bahawa lorong pit tidak akan dibuka sebelum jam 3.45 petang, dengan kemas kini seterusnya akan dibuat pada sekitar jam 6.35 petang.

Difahamkan, jarak telah pun dikurangkan daripada 27 pusingan kepada 20 pusingan kerana bimbang terhadap keselamatan pelumba.

Sementara itu, Marc Marquez dilaporkan tidak akan mengambil bahagian dalam perlumbaan tersebut selepas mengalami gegaran otak semasa kemalangan di sesi pemanasan badan.

Pelumba itu tercampak tinggi ke udara dan jatuh di atas batu kelikir sehingga menyebabkan motosikalnya mengalami kerosakan yang teruk.

Dia mengalami rempuhan sisi tinggi ketika menunggang di selekoh tujuh.

Semasa sesi pemanasan badan pada waktu pagi itu, cuaca dilihat berada dalam keadaan baik dan membolehkan pelumba memaksimumkan kelajuan mereka.

Penganjur guna teknologi pengubahsuaian cuaca

Dalam pada itu, Detik News melaporkan bahawa penganjur Grand Prix Pertamina Indonesia telah menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca atau TMC untuk menjadikan cuaca cerah.

Walau bagaimanapun, awan gelap mula ‘menyelimuti’ kawasan litar itu menjelang tengah hari tadi sekaligus membantutkan perlumbaan.

Ia disusuli dengan hujan gerimis pada sekitar jam 1.00 petang sehingga akhirnya hujan lebat pada jam 2.00 petang.

Melihat keadaan itu, rata-rata netizen merasa takut dan berharap agar cuaca akan kembali baik semula.

Perlumbaan MotoGP di Indonesia ini menjadi tumpuan dunia kerana ia diadakan pertama kali selepas 25 tahun Grand Prix terakhir berlangsung di negara itu.