[Video] Padah ‘u-turn’ mengejut, dua kereta bertembung

[Video] Padah ‘u-turn’ mengejut, dua kereta bertembung

Kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan, Perodua Myvi dan Proton Saga yang dipercayai di Pintu 3 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, tular di Facebook sejak semalam.

Menerusi sebuah rakaman kamera papan pemuka berdurasi 29 saat yang memaparkan pelanggaran dua buah kereta kerana kereta yang dipandu oleh seorang wanita dipercayai mahu melakukan pusingan U secara tiba-tiba tanpa melihat kenderaan sekeliling.

Rata-rata pengguna Facebook meluahkan perasaan marah terhadap wanita tersebut yang mahu membuat pusingan U secara tiba-tiba di kawasan itu.

“Ramai tidak faham hampir semua papan pemuka mempunyai sudut yang lebar. Dalam video memang nampak jauh tetapi sebenarnya jarak kereta jauh lebih dekat. Sudah terang lagi bersuluh pemandu wanita itu yang salah,” komen Afif Falihin di Facebook.

Dalam video tersebut, pemandu Myvi itu turut membunyikan hon dari jauh sebelum berlaku pelanggaran yang mengakibatkan kedua-dua buah kenderaan tersebut mengalami kerosakan yang teruk di bahagian sisi kenderaan masing-masing.

Seorang pengguna Facebook, Nur Shuk, berkata, pemandu perlu bertolak ansur sekiranya berlaku kemalangan dan jika memandu menggunakan akal fikiran, tidak akan berlaku kemalangan.

“Cubalah bertolak ansur sikit, jika dia buat kesilapan. Kalau kita memandu kereta menggunakan akal fikiran, pasti tidak akan berlaku kemalangan. Jalan raya semua orang mahu guna, tapi jika ada sifat tolak ansur, selamat kedua-dua buah kereta,” katanya di laman Facebook.

Namun, pengguna laman Facebook yang lain tidak setuju dengan komen yang diberikan oleh Nur Shuk kerana pemandu wanita itu sudah pun membuat pusingan U ketika Perodua Myvi menghampiri lalu berlaku pelanggaran.

“Benda berlaku dalam sekelip mata. Apa-apa pun boleh terjadi. Mahu bertolak ansur pun tidak sempat. Apa pun, Proton Saga tetap salah kerana buat pusingan U secara mengejut,” balas Irsyad Azmi di ruangan komen. – Kosmo