[Video] Netizen kecam samseng jalanan tunjuk isyarat lucah, pandu secara tidak berhemah

[Video] Netizen kecam samseng jalanan tunjuk isyarat lucah, pandu secara tidak berhemah

 

 

Tindakan seorang pemandu yang dipercayai memandu secara tidak berhemah dan menunjukkan isyarat lucah di atas jalan raya dikecam netizen tular di laman Twitter sejak semalam.

Menerusi video yang berdurasi 42 saat itu, pemandu kereta tersebut dilihat seperti mahu membuat pusingan U di lampu isyarat simpang tiga yang jelas tidak dibenarkan di kawasan tersebut.

Menurut wanita yang memuat naik video tersebut di akaun Twitternya, @knnyshera, dia menjelaskan bahawa pemandu tersebut tidak berpuas hati dan menekan brek secara mengejut semasa kereta yang dipandunya menghampiri kereta tersebut.

“Selepas dari simpang tiga itu, dia seolah tidak berpuas hati dan brek secara mengejut semasa kereta saya menghampiri dan nyaris sahaja mahu berlanggar dengan keretanya,” ciapnya.

Rata-rata pengguna laman Twitter tidak berpuas hati terhadap pemandu tersebut yang melakukan kesalahan buli di jalan raya dengan menunjukkan isyarat lucah.

Menurut seorang pengguna bernama @anwarrrahmad, dia berpendapat bahawa pemandu tersebut amat biadab dan sombong.

“Baru pakai nombor plat satu angka sudah berlagak. Belum buku bertemu ruas, bolehlah tunjuk jari tengah, brek mengejut begitu. Kau buat kat salah orang, memang mendapat,” jelasnya.

Pengguna lain dengan nama @nyznasri berkata, dia amat geram melihat perbuatan lelaki tersebut yang tidak sepatutnya dilakukan di atas jalan raya.

“Dasar samseng jalanan! Tak guna betul, geramnya tengok. Boleh terus buat aduan kalau dah jadi begini,” ujarnya.

Dalam pada itu, selepas kejadian tersebut, pemandu wanita itu memaklumkan telah pun membuat aduan kesalahan trafik dan buli di jalan raya di emel Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

Sumber: Kosmo