[Video] Myvi terjatuh longkang, wanita berdepan detik cemas nyaris dibawa arus deras

[Video] Myvi terjatuh longkang, wanita berdepan detik cemas nyaris dibawa arus deras

 

Tular satu video menyaksikan detik-detik cemas seorang wanita yang nyaris lemas dihanyutkan arus deras dalam longkang besar yang dipercayai berlaku di Jalan Bukit Samsu, Jalan Kota Tinggi-Mersing di Johor.

Memetik laporan Sinar Harian, wanita terbabit dilihat sedang berpaut pada kereta Perodua Myvi di dalam longkang terbabit.

Kereta berwarna kelabu itu dipercayai telah terjatuh di dalam longkang tersebut dan menyebabkannya dihanyutkan arus deras.

Dalam rakaman yang berdurasi 15 saat itu, dua lelaki juga dilihat cuba untuk membantu menyelamatkan wanita tersebut.

Bertindak dengan pantas, salah seorang daripada lelaki terbabit berjaya menarik mangsa dan naik ke atas.

Dalam pada itu, Polis Daerah Kota Tinggi mengesahkan insiden tersebut tidak melibatkan kemalangan nyawa.

Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung insiden itu akan dikongsikan nanti, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, video yang memaparkan kejadian tersebut tular dan mendapat pelbagai komen dari netizen.