[Video] Murtad: ‘Maafkan aku dan suami’

[Video] Murtad: ‘Maafkan aku dan suami’

“Demi Tuhan kita takkan buat apa lagi, kepada Menteri-Menteri, kepada seluruh rakyat Malaysia bagilah kesempatan (kepada) aku dan suami minta maaf. Kalau aku sama suami ada salah, maafkan.”

Itu rayuan seorang wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam dalam satu klip video berdurasi 3 minit 11 saat yang tular di media sosial.

Wanita terbabit mendakwa dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia.

“Tolong, maafkan suami saya. Kami punya anak kecil lagi…tolonglah. Bersujud di kaki kalian semua pun tak ada masalah.

“Anak saya masih kecil, masih memerlukan ayah. Mungkin kalau semua orang dah maafkan, kita janji kita takkan buat video tentang agama semua itu,” katanya dalam petikan video itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh meminta orang ramai menyerahkan siasatan isu video seorang lelaki bukan Islam yang dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam kepada pihak polis.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya difahamkan isu itu sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan dari pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Johor mendedahkan pihaknya menyerbu sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn, sekitar jam 9.50 malam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, lelaki yang mendakwa sudah memurtadkan perempuan Islam itu sudah dikenal pasti namun ketika serbuan dia tiada di rumah berkenaan.

Katanya, kes video itu sedang Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. – HM