[Video] Menyayat hati, bayi dalam kandungan ‘terkeluar’ ketika kemalangan

[Video] Menyayat hati, bayi dalam kandungan ‘terkeluar’ ketika kemalangan

 

Dua maut termasuk seorang ibu yang sarat mengandung sembilan bulan selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kejadian di Kampung Lumpur, di sini, jam 7 malam tadi.

Bagaimanapun, bayi lelaki di dalam kandungan wanita berkenaan dilaporkan selamat dan sedang mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM).

Mangsa, wanita berusia 24 tahun disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang lelaki berumur 18 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan HPM sekitar jam 10 malam.

Saksi, yang mahu dikenali sebagai Wan berkata, kejadian berlaku terlalu pantas namun dia sempat melihat kedua-dua motosikal bertembung dan lebih menyayat hati apabila bayi dalam kandungan ‘terkeluar’ manakala remaja itu terpelanting ke bahu jalan akibat pertembungan itu.

“Wanita berkenaan menunggang motosikal sambil membonceng seorang lagi kanak-kanak dipercayai anaknya.

“Mereka cuba dibantu oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan sebelum menelefon ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di perkarangan HPM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu namun siasatan terperinci masih dijalankan.