[Video] “Macam Yahudi lah korang!” – Peniaga hilang sabar dilarang berniaga
Sebuah rakaman video yang menunjukkan pertikaman lidah antara seorang peniaga dengan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tular di media sosial Twitter sejak semalam.
Video berdurasi kurang dari tiga minit itu menunjukkan anggota bertugas sedang berunding dengan peniaga berkenaan yang dipercayai berniaga tanpa lesen di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Begitupun, peniaga terbabit yang dikenali sebagai Joe hilang sabar menyebabkan dia lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasa tersebut yang dipercayai cuba merampas motosikalnya.
“Macam Yahudi lah korang! Orang nak cari duit sikit pun tidak boleh! Tahu-tahu dah datang (nak) angkat (motosikal)! Mana muka korang? Bagilah muka sikit dekat peniaga,” katanya.
Menurut rakan peniaga tersebut, mereka belum mendapat pulangan untung dan telah mengeluarkan modal yang agak banyak untuk memulakan operasi pada malam tersebut.
“Kami mahu berniaga sekejap sahaja di sini dan belum lagi untung. Bagilah peluang kepada kami untuk berniaga,” katanya di dalam video tersebut.
Dalam pada itu, seorang bekas penyampai radio memuat naik video mengulas perkara tersebut melalui laman YouTube miliknya.
Bekas penyampai radio yang dirahsiakan identitinya itu meluahkan rasa kecewa dan bersimpati terhadap nasib peniaga tersebut menjelang Aidilfitri.
“Mereka yang berniaga untung pun hanya RM50 ke RM60, itupun mahu ambil motosikalnya. Tidak ada rasa malu ke? Tidak ada diplomasi? Kadang-kadang sedih tengok bangsa sendiri,” katanya. – Kosmo