[Video] ‘Konsert’ tular di Bulatan Sultan Azlan Shah kini dalam siasatan polis

[Video] ‘Konsert’ tular di Bulatan Sultan Azlan Shah kini dalam siasatan polis

 

Polis mengesahkan penganjur acara seakan konsert yang menyaksikan perkumpulan secara beramai-ramai di Bulatan Sultan Azlan Shah (Bulatan Meru) dekat Meru Raya, di sini seperti tular di media sosial tidak memperoleh kebenaran daripada polis atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan acara itu yang video mengenai tular sejak hari ini.

Beliau berkata, ia berikutan berdasarkan video berkenaan penganjur serta pengunjung program itu didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal selain sebahagian pengunjung tidak memakai pelitup muka.

Katanya, susulan itu siasatan dibuka mengikut Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati penganjur acara itu tidak memohon kebenaran dari MKN Perak mahupun Polis Daerah Ipoh selain mereka turut didapati gagal mematuhi SOP pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya kini mengesan pemilik akaun TikTok serta individu yang terbabit dalam program berkenaan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019,” katanya.

Menerusi beberapa video yang tular, kelihatan puluhan individu menari mengikut rentak muzik selain memaparkan beberapa individu tidak memakai pelitup muka dengan betul serta ketiadaan penjarakan fizikal satu meter.