[Video] Kereta terputus dua akibat dipanah petir, lelaki maut tercampak 20m

[Video] Kereta terputus dua akibat dipanah petir, lelaki maut tercampak 20m

Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terputus dua, dipercayai akibat dipanah petir dan meletup di Simpang 4, Kampung Sireh, Kota Bharu, petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan berkata, serpihan mercun turut ditemui di tempat kejadian.

Katanya, lima kenderaan lain turut mengalami kerosakan akibat kejadian kira-kira 5.30 petang tadi.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba Kota Darulnaim dan Tunjung bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan pada 5.38 petang tadi.

Dalam klip video yang tersebar di media sosial, tingkap sebuah masjid dan sekolah, serta kawasan sekitar hampir 100m dari lokasi kejadian itu turut mengalami kerosakan akibat letupan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, siasatan awal pihak bomba mendapati kereta yang meletup itu turut membawa mercun.

“Setakat ini, seorang mangsa berusia 50-an yang juga pemandu kereta yang meletup itu disahkan meninggal dunia. Impak daripada letupan itu juga menyebabkan kereta jenis Proton Iswara itu terputus dua.

“Letupan kuat itu juga menyebabkan mayat mangsa tercampak kira-kira 20m dari kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan, termasuk kedua-dua belah kaki,” katanya dipetik Bernama di lokasi kejadian.

Beliau berkata, empat mangsa lain berhampiran lokasi kejadian turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, termasuk seorang anggota polis yang parah.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Lokasi kejadian juga dipenuhi dengan kesan mercun yang dipercayai menyebabkan letupan kuat itu. – FMT