[Video] Gempar! Lelaki ‘murtadkan’ perempuan Islam, polis serbu rumah

[Video] Gempar! Lelaki ‘murtadkan’ perempuan Islam, polis serbu rumah

Susulan penularan video lelaki yang mengaku memurtadkan seorang perempuan lslam di media sosial, Polis Johor menyerbu sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn di sini, semalam.

Serbuan itu dilakukan jam 9.50 malam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki terbabit berada di rumah berkenaan.

“Pihak polis berjaya mengawal keadaan dan hasil pemeriksaan mendapati kediaman itu hanya didiami oleh ayah dan kakak lelaki itu sahaja.

“Suspek yang berusia lingkungan 29 tahun itu sudah dikenal pasti namun tiada di premis berkenaan. Tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Video berdurasi 3 minit dan 11 saat itu memaparkan pengakuan lelaki bukan muslim yang mendakwa memurtadkan seorang perempuan Islam.

Menjelaskan lanjut, Ayob Khan berkata, kes video itu sedang Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat terus kepada pihak polis serta tidak mengambil tindakan secara sendirian, yang dibimbangi boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.