[Video] Gajah ceroboh kem ATM akibat pagar elektrik rosak

[Video] Gajah ceroboh kem ATM akibat pagar elektrik rosak

 

Kerosakan pagar elektrik yang dipasang di Kem Sri Banding di sini dipercayai menjadi punca pencerobohan seekor gajah seperti video tular pada Isnin.

Video berdurasi 2 minit 50 saat memaparkan seekor gajah merosakkan peralatan dipercayai untuk mencari makanan dalam kawasan kem milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan gangguan haiwan liar itu diterima daripada pihak terlibat dan tindakan susulan akan diambil.

“Kejadian itu mungkin disebabkan kerosakan pagar elektrik di kem berkenaan menyebabkan gajah masuk ke kawasan itu.

“Pejabat Perhilitan Daerah Gerik akan membantu dan memberi nasihat kepada pihak kem bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan pihak kem untuk tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar terbabit.