Video gaduh tular, polis minta perakam tampil bantu siasatan

Video gaduh tular, polis minta perakam tampil bantu siasatan

 

Polis meminta individu yang merakam video tular pergaduhan dua lelaki menggunakan topi keledar di Taman Klebang Jaya, Chemor dekat sini, supaya tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mereka yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

 

“Kejadian itu dikatakan berlaku di Laluan Klebang Jaya 13 namun tarikh dan masa insiden itu berlaku masih belum dipastikan.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.

Terdahulu, video berdurasi 20 saat itu tular selepas dimuatnaik di laman sosial Facebook ‘inforoadblock’ dengan memaparkan pergaduan dua lelaki menggunakan topi keledar di persimpangan jalan raya.