[Video] Berang tak dapat duit, bekas banduan bakar rumah ibu

[Video] Berang tak dapat duit, bekas banduan bakar rumah ibu

 

Berang tidak diberikan wang, seorang bekas banduan yang baharu seminggu keluar daripada penjara tergamak membakar rumah keluarganya di Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar di sini, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 3.30 petang selepas permintaan suspek berusia 30an itu tidak dipenuhi ibunya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan kira-kira pukul 3.30 petang berhubung kebakaran rumah daripada seorang kerani wanita berusia 37 tahun yang merupakan anak saudara kepada suspek.

Katanya, mangsa yang berada di tempat kerja telah bergegas pulang dan mendapati pihak bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berdasarkan siasatan mendapati rumah tersebut adalah rumah kampung jenis berkembar dengan mangsa tinggal bersama bersebelahan rumah suspek.

“Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah berjumpa dengan ibunya tidak jauh dari tempat kejadian bagi meminta wang tetapi gagal.

“Suspek telah membuat ugutan kepada ibunya bahawa dia akan membakar rumah sekiranya ibunya tidak memberikan wang sebelum beredar.

“Semasa kejadian rumah mangsa tidak berpenghuni kerana keluar bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Vijaya Rao, bertindak hasil maklumat pihaknya kemudiannya berjaya menahan suspek kira-kira pukul 6 petang di sekitar lokasi kejadian.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek baru seminggu keluar dari penjara atas kesalahan dadah dan kini menganggur.

“Siasatan masih dijalankan sama ada wang yang diminta tersebut adalah bagi pembelian dadah.

“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

 

Sumber: Kosmo