[Video] Angkara dengki, wanita disihir adik beradik sendiri

[Video] Angkara dengki, wanita disihir adik beradik sendiri

 

TIDAK dinafikan sejak adanya media sosial, masyarakat semakin gemar berkongsi kisah hidup terutama video mahupun gambar yang menunjukkan kemesraan dan kesenangan masing-masing.

Ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang individu lain sehingga ada yang berasa dengki dan iri hati.

Namun, apa yang lebih menghairankan apabila sikap cemburu dan hasad itu tercetus dalam kalangan adik beradik sendiri seperti yang dikongsikan pengamal perubatan tradisional, Paksu Wan Terapi.

Menerusi video perkongsiannya yang tular itu, seorang wanita dalam keadaan tidak sedar dan dirasuk mengaku telah melakukan sihir terhadap keluarga adik beradiknya dengan menggunakan khidmat bomoh Siam.

Malah, dia turut menyatakan telah membayar sejumlah RM800 kepada bomoh tersebut supaya hasratnya tercapai.

 

“Aku dengki dengan depa (mereka). Kami buat macam-macam, bagi makan minum supaya mereka tak ingat nak balik rumah sana… biar mereka duduk di Kepala Batas (Pulau Pinang) tu.

“Anak dia yang duduk di Sabah tu pun sakit. Anak dia sakit teruk sebab aku buat berterusan,” akuinya.

Wanita tersebut juga meluahkan rasa marah apabila adik lelakinya sering membawa isteri yang telah disihir mendapatkan rawatan di merata tempat.

Menurutnya lagi, selain melakukan sihir sejak empat bulan lalu, dia turut menanam ‘barang’ yang dikatakan sebagai alat sihir.

“Mereka ada rumah banyak, aku tak boleh tengok isteri dia hidup senang… lebih daripada aku.

“Aku yang hasut semuanya. Adik, kakak dan ayah dia sehingga dihalau… kami memang nak buat bagi depa (mereka) bercerai.

“Sebelum ni cucuk kat patung sekarang kami guna gambar. Kemudian kami ambil kain batik dan t-shirt dia rendam dalam air, sebab itu dia terketar-ketar,” katanya yang mengaku ingin pasangan terbabit mati.

Sihir yang dilakukan turut menggunakan pakaian mangsa.

Katanya lagi, setiap perbuatan keji tersebut dilakukan oleh dirinya sendiri.

Dalam pada itu dia turut menyatakan bayaran kepada bomoh tersebut diperoleh daripada hasil perkongsian antara dirinya, kakak, anak dan tiga orang adik.

Tambahnya, sihir tersebut demi mendapatkan tanah milik ayahnya yang kini sedang dijaga oleh pasangan suami isteri terbabit.

“Isteri dia jaga ayah kami dengan baik, memang bagus. Bawa pergi jalan-jalan dan makan makanan mewah,” jelasnya.

Perkongsiannya itu menjadi tular sehingga dikongsikan di pelbagai platform media sosial termasuk Facebook Page Perak Press.

Rata-rata warganet meninggalkan pelbagai reaksi selain ada yang berkongsi pengalaman seumpama itu.

“Pada mereka yang tak pernah melalui memang anggap perkara sebegini seperti jenaka dan bahan lawak. Yang dah lalui sahaja faham dan pernah hadap permusuhan antara adik beradik betapa tersiksanya hidup bila diri dianiaya dan dikhianati oleh insan-insan yang kita percaya dan sayang.

“Sendiri pernah alaminya, arwah mak pergi kerana sihir dari kakak iparnya sendiri. Arwah ayah pergi terlalu rindukan arwah isterinya… yang mana pernah alami mesti tahu keperitan untuk berubat.

“Yang faham dan pernah lalui sahaja, kadang-kadang hairan kenapa mereka buat… nak bagi turut kata?

“Adik abah saya macam ni la suka main sihir santau kat adik beradik,” ujar beberapa netizen.

Bagaimanapun, sesetengah yang lain mengingatkan bahawa kemungkinan syaitan yang merasuk wanita itu sengaja ‘mereka-reka’ cerita dan memburukkan adik beradik.

“Jangan mudah percaya apa yang iblis ni cakap, penuh tipu daya untuk pecah belahkan silaturrahim. Anggap ini tipu, dusta semata-mata.

“Boleh percaya A-Z. Tapi jangan percaya sangat kata-kata syaitan iblis ni… akak yang bercakap ni memang tak sedar apa yang dia cakap.

“Dengar boleh, percaya jangan,” nasihat beberapa pelayar Facebook.