[Video] 15 kereta dihempap bumbung parkir runtuh di Hospital Teluk Intan

[Video] 15 kereta dihempap bumbung parkir runtuh di Hospital Teluk Intan

Struktur bumbung pejalan kaki dan parkir berbumbung kenderaan kakitangan Hospital Teluk Intan, di sini hari ini runtuh ketika ribut dan menghempap 15 buah kereta.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu disedari jurupulih fisioterapi hospital tersebut ketika mahu mengambil keretanya pada pukul 4.20 petang.

Menurutnya, dalam kejadian ribut itu, laluan pejalan kaki dan parkir berbumbung di jabatan pesakit luar sepanjang 30 meter runtuh.

Katanya, sebanyak 15 buah kereta mengalami kerosakan termasuk pecah cermin hadapan serta kemek di bahagian bonet.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku namun bumbung yang roboh menghempap kereta yang diparkir di kawasan itu.

“Pihak Hospital Teluk Intan telah mengambil tindakan susulan untuk membersihkan kawasan parkir tersebut,” katanya. – Utusan