Vaksin Covid-19: Perak sedia empat pusat simpanan

Vaksin Covid-19: Perak sedia empat pusat simpanan

Vaksin Covid-19 yang tiba di sini, hari ini akan ditempatkan di empat pusat simpanan vaksin yang dikawal ketat.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pusat simpanan itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB); Hospital Taiping (HT); Hospital Angkatan Tentera (HAT) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Hospital Teluk Intan.

Katanya, vaksin dihantar menerusi DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd (DHL) dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 10 pagi dan tiba di HT pada 11.45 pagi, diikuti HAT TLDM pada 12.15 tengah hari.

“Berikutnya ia dihantar ke HRPB pada 1 tengah hari, manakala terakhir di Hospital Teluk Intan.

“Kawalan di setiap pusat penyimpanan adalah di bawah penugasan Ibu Pejabat Daerah (IPD) masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya sudah mengemukakan 3,000 nama pegawai dan anggotanya untuk menerima suntikan vaksin fasa pertama bermula 1 Mac.

Katanya, keseluruhan 10,924 kakitangannya memerlukan suntikan berkenaan dan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Media sebelum ini melaporkan Perak dijangka menerima 79,560 dos vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin dilaporkan berkata, 33,503 petugas barisan hadapan akan disuntik pada fasa itu termasuk Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). – HM