Vaksin COVID-19: Denmark pula gantung penggunaan AstraZeneca selepas Austria

Vaksin COVID-19: Denmark pula gantung penggunaan AstraZeneca selepas Austria

Susulan daripada sebilangan pesakit dilaporkan mengalami masalah pembekuan darah, Denmark memutuskan untuk menggantung sementara penggunaan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca.

Pihak berkuasa kesihatan Denmark dalam satu kenyataan memaklumkan, penggantungan sementara vaksin tersebut dalam program vaksinasi itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Langkah ini diambil berikutan laporan kes pembekuan darah yang serius dalam kalangan mereka yang disuntik vaksin COVID-19 AstraZeneca.

“Berikutan perkara ini, Badan Perubatan Eropah (EMA) telah menjalankan siasatan terhadap vaksin AstraZeneca.

“Juga terdapat satu laporan kematian selepas menerima dos suntikan vaksin itu di Denmark.

“Pada masa ini, tidak dapat disimpulkan sama ada wujud kaitan antara vaksin itu dengan pembekuan darah (blood clotting),” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, tidak dinyatakan lagi berapa jumlah sebenar masalah pembekuan darah itu berlaku dan apa puncanya.

Pengumuman penggantungan dibuat oleh Denmark itu turut menjadi kerisauan bagi beberapa negara lain sehingga membuat keputusan sama, seperti Iceland dan Norway.

Ia turut memberi kesan besar kepada saham AstraZeneca di pasaran London yang dilaporkan merosot 2.5 peratus pada Khamis.

Buat masa ini, University of Oxford tidak memberi sebarang maklum balas atau mengulas mengenai pengumuman itu.
Austria telah membuat keputusan sama sejak Isnin lalu

Isnin lalu, Austria mengumumkan penggantungan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia disebabkan masalah pembekuan darah yang teruk, beberapa hari selepas menerima suntikan.

Empat negara Eropah lain iaitu Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxembourg juga menggantung penggunaan vaksin terbabit, yang turut dihantar ke 17 negara Eropah lain membabitkan satu juta suntikan.

Rabu lalu, pemerhati perubatan Eropah, EMA berkata, bukti awal menunjukkan kumpulan vaksin AstraZeneca yang digunakan di Austria kemungkinan bukan faktor yang menyebabkan kematian jururawat itu.

EMA memaklumkan, sehingga 9 Mac lalu, sebanyak 22 kes pembekuan darah dilaporkan dalam kalangan lebih tiga juta orang yang divaksin di Kawasan Ekonomi Eropah. – AA