Utusan tarik balik berita pengampunan Najib, dakwa fakta yang diterima tidak dapat disahkan

Utusan tarik balik berita pengampunan Najib, dakwa fakta yang diterima tidak dapat disahkan

 

Teka-teki spekulasi kononnya bekas perdana menteri, Najib Razak dibebaskan akhirnya terjawab apabila laporan awal portal dalam talian Utusan Malaysia iaitu Utusan Online ditarik balik.

Ia susulan kecaman demi kecaman dilemparkan kepada portal pro-Najib itu walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Lembaga Pengampunan setakat ini.

Menerusi hantaran di X, portal ‘terpaling’ pantas itu memohon maaf kepada pembaca selepas menarik balik siaran berita itu yang hampir membuatkan portal lain turut ‘melaporkan’ berita bersumberkan portal itu.

“Pihak Utusan Malaysia telah menarik balik berita mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak ini kerana fakta yang tidak dapat disahkan.

“Oleh itu pihak kami memohon maaf kepada pembaca,” tulis ringkas portal itu sebentar tadi.

Terdahulu kecoh di media sosial kononnya Najib dibebaskan yang mengundang persoalan dari mana datangnya ‘sumber’ yang memberitahu portal berkenaan keputusan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat semalam.

Pada awalnya, laporan berita itu menulis tajuk ‘Najib bebas, terima pengampunan’ kemudian mengubah tajuk berkenaan kepada tajuk berbentuk persoalan iaitu ‘Najib dapat pengampunan?’ seakan cuba bermain spekulasi.

Dan akhirnya mereka membuat pusingan-U dengan menarik balik laporan itu berserta permohonan maaf.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa telah meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi lembaga itu sebelum pihak lain membuat ulasan.