Ustaz Husam didakwa terima gelaran tak diiktiraf

Ustaz Husam didakwa terima gelaran tak diiktiraf

 

Pendakwah bebas Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf.

Mengikut pertuduhan, Husam, 34, didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, IPK Perlis pada 11.30 pagi, 4 Mei 2023.

Sehubungan dengan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau juga menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.