“Saya minta maaf” – Ustaz Don cari pemandu Alza, mengaku ada buat salah di plaza tol

“Saya minta maaf” – Ustaz Don cari pemandu Alza, mengaku ada buat salah di plaza tol

 

Pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal mencari pemandu kereta jenis Alza kerana mengakui dia telah melakukan kesalahan ketika menunggang motosikal di lebuh raya Subang pada pagi Selasa.

Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, turut memohon maaf terhadap pemandu berkenaan kerana tidak sengaja melakukan kesalahan lalu lintas sewaktu melalui plaza tol berkenaan.

“Assalamualaikum, kepada abang atau kakak (pemandu) Alza warna gelap, saya rasa warna ungu kot. Tadi dekat tol, saya rasa ada buat kesalahan.

“Lepas saya terlepas lalu di tol itu, baru saya macam alamak ada buat salahlah. Jadi saya rasa mungkin membuatkan abang atau kakak sangkut dekat tol tadi. Saya penunggang motosikal itu,” katanya.

Menurut mStar, Don berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa.

Menerusi perkongsian itu juga, Don turut menulis butiran terperinci tentang kejadian yang berlaku pada pukul 9.10 pagi.

Ketika kejadian, Don berkata dia menunggang motosikal jenis vespa berwarna hitam.

Dalam pada itu, Don berharap pemandu tersebut dapat menghubunginya segera untuk diberi ganti rugi dan berhasrat ingin belanja makan di restoran miliknya.

“Saya minta ampun minta maaf. Kalau ada sesiapa di luar sana dengar ada kawan pejabat merungut ke atau cerita tentang kejadian di tol, mungkin orang yang dimaksudkan itu saya.

“Saya minta maaf, boleh hubungi saya untuk ganti rugi atau paling tidak pun bagi saya belanja abang atau kakak di restoran saya. Maafkan saya, hubungi saya semula okay,” ujarnya.