Ustaz Azhar Idrus tegur Pesta Tarian Zumba di Bukit Besar Terengganu

Ustaz Azhar Idrus tegur Pesta Tarian Zumba di Bukit Besar Terengganu

PESTA TARIAN DI BUKIT BESAR

Soal :

Saya telah melihat sekumpulan wanita Islam lebih kurang 70-80 orang menari zumba di padang taman awam di hadapan Bukit Besar bersebelahan pasaraya Mydin Kuala Terengganu.

Sebahagian besar wanita Islam tersebut tidak menutup aurat dengan sempurna yaitu ramai yang memakai pakaian yang ketat sehingga nampak bentuk perut dan dada dan punggung dan ada yang seluarnya singkat nampak betis dan ada juga yang tidak memakai tudung kepala. Mereka menggoyang-goyangkan badan mengikut rentak muzik dengan diperhatikan olih orang ramai yang lalu lalang dan beriadah disitu.

Apakah hukumnya disisi syarak?

Jawab :

Aurat perempuan wajib ditutup dari pandangan orang yang tidak halal melihatnya dan kewajipan tersebut tidak tertunai melainkan dengan dua syarat :

Pertama : Memakai pakaian yang menutup dari kelihatan warna kulitnya.

Kedua : Memakai pakai yang longgar sekira-kira tidak dapat dilihat bentuk tubuhnya dari atas kepala sampai ke kakinya.

Rasulullah saw bersabda :

وأمر امرأتك أن تجعل تحته ثوبا لا يصفها

Artinya : “Perintahkan isterimu memakai pakaian disebalik pakaian luar supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.” (Hadith Abu Daud, Baihaqi & Hakim)

Dan dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda :

مرها فلتجعل تحتها غلالة ، إني أخاف أن تصف حجم عظامها

Artinya : “Perintahlah isterimu meletakkan pakaian disebalik pakaian luar. Sungguhnya aku takut ia akan menampakkan bentuk tubuhnya.” (Hadith Ahmad)

Dalam hadith ini Rasulullah saw menyuruh kaum perempuan memakai dua lapis pakaian supaya tidak ternampak bentuk badannya jika dipandang dari luar ketika berjalan diluar rumah.

Menampakkan rambut atau leher atau dada atau kaki adalah haram dengan sengaja dihadapan orang yang ajnabi. Begitu juga haram memakai pakaian yang ketat sehingga dapat dilihat bentuk dadanya atau belakangnya atau punggungnya atau perutnya atau pahanya. Sengaja berpakaian begini adalah haram dan berdosa sekalipun hanya berjalan pergi ke masjid. Apatah lagi berpakaian tidak menutup aurat atau menampakkan bentuk tubuh badan kemudian melenggokkan badannya pula membuat tarian di hadapan lelaki yang tidak halal melihatnya adalah haram dengan ijmak ulama dan perbuatan menarinya itu adalah perbuatan maksiat. Jika dia berulang-ulang menari seperti itu maka masuklah ia dalam kalangan ahli maksiat.

Perempuan yang melakukan perbuatan seperti ini tergolong dalam perempuan yang fasiqah. Ibu bapa atau suami yang membenarkan anak perempuan atau isterinya melakukan perbuatan tersebut turut menanggung dosa kerana kaedah “redha dengan maksiat ialah maksiat dan redha dengan kefasiqan adalah fasiq.”

Begitu juga berdosa orang yang melibatkan diri dalam menjayakan program tarian seperti ini samada kerajaan atau swasta atau orang persendirian.

Semua pemimpin negeri turut menanggung dosa kerana membiarkan perkara maksiat dan dilaknat ini terang-terangan tanpa apa-apa tindakan.

Penonton yang hadir untuk melihatnya juga berdosa kerana haram hukumnya melihat atau menghadirkan diri pada majlis yang maksiat dan keji seperti ini

Berkata Imam Qurtubi di dalam tafsirnya :

اسْتَدَلَّ الْعُلَمَاءُ بِهَذِهِ الْآيَةِ عَلَى ذَمِّ الرَّقْصِ وَتَعَاطِيهِ

artinya : “Para ulamak berdalil dengan ayat 37 surah Al-Israk mencela perbuatan menari dan pelakunya.”

Berkata Syeikh Khatib :

“Dan sekiranya kehadiran seseorang itu ke majlis tidak menghilangkan kemungkaran yang ada, diharamkan untuk dia datang kerana ianya seumpama redha dengan kemungkaran.”

Adapun jika menari perempuan dihadapan orang yang halal melihatnya seperti suaminya tanpa ada lelaki ajnabi melihat sama maka hukumnya adalah harus.

Berkata ulamak :

أما رقص المرأة أمام زوجها وليس عندهما أحد فلا بأس به

artinya : “Adapun menarinya isteri di depan suaminya yang tidak ada orang lain melihat maka tidak menjadi kesalahan.”

Kesimpulannya :

Perbuatan wanita Islam yang menari zumba di khalayak ramai seperti ini adalah haram dan mereka adalah pelaku maksiat lagi tidak mempunyai maruah kerana tidak ada rasa malu orang melihat.

Tersebut pada fatwa negeri Yaman :

الواجب على المرأة المسلمة الاحتشام والتستر بالحجاب الكامل عن الرجال غير المحارم، والبعد عن أسباب الفتنة، ومن أعظمها رقصها أمام الرجال الأجانب، فهو محرم لا يجوز، وهو مسبب للفتنة والوقوع في الفاحشة، ومناف للحياء، فعلى المرأة المسلمة الابتعاد عن ذلك وعن غيره من أسباب الفتنة‏

“Yang wajib atas wanita yang beragama Islam ialah berlaku sopan dan menutup dirinya dengan sempurna dari lelaki yang bukan mahram dan menjauhkan dari segala sebab fitnah. Setengah dari fitnah yang sangat besar ialah menari perempuan di depan lelaki yang bukan mahram. Ia adalah haram tidak diharuskan sama sekali. Ialah punca fitnah yang akan jatuh kepada perbuatan keji dan tidak ada rasa malu. Wajib atas kaum wanita menjauhkan perbuatan menari seperti ini dan lainnya dari segala sebab berlakunya fitnah.”

Wallahua’lam
ustaz azhar idrus