Ustaz, 3 warden pusat pemulihan dadah direman tujuh hari

Ustaz, 3 warden pusat pemulihan dadah direman tujuh hari

 

Seorang ustaz dan tiga warden direman selama tujuh hari berhubung kes kematian seorang penghuni pusat pemulihan dadah di Padang Rengas disyaki dipukul, Rabu lepas.

Menurut Sinar Harian, perintah reman terhadap ustaz berusia 25 tahun dan tiga warden lelaki berusia 20, 22, dan 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Adibah Abdul Kadir bermula Sabtu sehingga Jumaat depan.

Mereka tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Taiping dengan berpakaian lokap diiringi polis pada jam 9.40 pagi.

Pada Jumaat, keempat-empat mereka telah ditahan polis selepas laporan bedah siasat mendapati, kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada serta otot-otot dan tisu badan akibat trauma tumpul.

Pada hari kejadian, mangsa yang berusia 25 tahun dan baru seminggu ditempatkan di pusat pemulihan itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tetamu pusat berkenaan.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati, terdapat kesan luka di bahagian dahi serta kesan lebam di bahagian muka, mata kiri, dada, kedua-dua belah kaki dan tangan.

Sebelum kejadian, mangsa telah cuba mencederakan seorang warden menggunakan pisau ketika mahu melarikan diri, namun berjaya ditangkap.

Mangsa berjaya ditenangkan selepas berlaku pergelutan dengan cara warden beberapa kali menumbuk pada bahagian badan mangsa.

Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.