USAS, MARDI jalin kerjasama strategik bagi program MBA
Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menjadi universiti tempatan pertama menjalin hubungan kerjasama strategik dengan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia sumber Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri berbangga dengan langkah itu.
“Saya berasa bangga kerana MARDI telah banyak melakukan kerjasama dengan beberapa universiti tempatan tetapi ianya dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan (R & D).
“Tetapi untuk program peringkat sarjana, ini adalah kali pertama, dan sebagai anak Perak, saya amat bangga,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Program Kerjasama Strategik antara USAS dan MARDI di kampus USAS di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah USAS berharap perjanjian itu dapat memberi nilai tambah kepada pada graduan USAS dan menjadikan mereka berdaya saing dalam mendapatkan pekerjaan.
“Kita harap program ini dapat melahirkan graduan USAS yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi serta modal insan yang syumul, terbaik serta menyeluruh,” ujarnya.
Pada majlis itu, USAS diwakili oleh Naib Canselor Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi sementara MARDI diwakili oleh ketua pengarah Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Sementara itu, Dr Mohamad Roff berkata, kerjasama strategik ini bertujuan untuk mewujudkan satu program pengajian yang mempunyai nilai tambah, seiring dengan keperluan semasa terutamanya dalam bidang keusahawanan.
“Mereka akan belajar kaedah terbaru dalam bidang pemprosesan makanan dan selepas itu mereka akan ditempatkan di beberapa premis kendalian MARDI yang terpilih seperti di Ibu Pejabat MARDI, MARDI Seberang Perai, MARDI Kuala Terengganu, MARDI Johor Bahru dan MARDI Pendang untuk meningkatkan ilmu keusahawanan mereka pula.
“Setelah tamat pengajian, ilmu yang diperolehi dapat membantu pelajar menceburkan diri dalam bidang perniagaan terutamanya yang berkaitan dengan pemprosesan makanan,” katanya.
Tambahnya, melalui program kerjsasama strategik dengan USAS itu, MARDI berharap dapat melahirkan usahawan muda yang kompetitif dalam bidang pemprosesan makanan yang mampu menyumbang kepada kemajuan dalam penghasilan makanan negara.
“Dengan program ini, adalah diharap mereka berjaya menjadi usahawan yang berjaya dan dapat menyumbang kepada penghasilan makanan negara,” ujarnya.
Prof Dr Nordin pula berkata program tersebut dijangka akan memulakan pengambilan pelajar bagi semester 1 sesi 2021/2022 pada bulan September tahun ini. – SP