Usahawan B40 ditawar gerai percuma

Usahawan B40 ditawar gerai percuma

 

Kerajaan Perak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) menawarkan gerai percuma bersama tapak perniagaan kepada usahawan mikro B40 daerah Kinta di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, di sini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Program Tawaran Gerai Perniagaan Untuk Usahawan itu digerakkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan platform e-dagang Shopee.

Menurutnya, pihak Shopee akan menyumbang 20 unit ShopeePay Push Cart untuk membantu peniaga-peniaga terlibat dan progam ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan November 2021.

“Keutamaan kita berikan kepada mereka yang baharu memulakan perniagaan, golongan wanita dan belia mengikut syarat-syarat ditetapkan serta memenuhi kriteria usahawan B40.

“Usahawan yang berjaya akan diberikan sebuah gerai dianggarkan bernilai RM6,000 berukuran lebih kurang 1.7 meter x 1 meter secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi termasuklah mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sah, perniagaan dan tempat tinggal hanya di sekitar Daerah Kinta, berasal atau bermastautin di Perak dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata, keutamaan produk usahawan hanya melibatkan makanan atau minuman siap bermasak, produk cenderahati, kraftangan dan produk lain yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa pemilihan.

Jelasnya, usahawan yang berminat mestilah mempunyai asas dan mampu menjalankan transaksi secara dalam talian serta transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Beliau berkata, pihak Shopee turut memberikan apron, pelindung muka, pengaktifan ShopeePay eWallet untuk mereka dan menjalankan kempen secara percuma di platform Shopee bagi membantu merancakkan perniagaan mereka melalui platform digital

“Kolaborasi ini akan melibatkan sumbangan oleh Shopee bernilai lebih RM500,000 dalam bentuk pushcart, peralatan, manfaat dan kempen di platform Shopee untuk membantu 20 usahawan terlibat.

“Ini juga merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan Shopee di Malaysia dan dimulakan di Perak,” jelasnya.

Menurutnya, usahawan di sekitar daerah Kinta yang berminat boleh mengisi borang yang disediakan pihak STeP menerusi laman Facebook Sekretariat Usahawan Negeri Perak.