“Usaha dan penat lelah kami sangat tidak berbaloi” – Azhan Rani kesal individu tonton drama Khunsa secara ‘haram’ di Telegram
Pelakon, Azhan Rani hari ini meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan segelintir warga maya yang menonton drama terbaru dibintanginya, Khunsa melalui Telegram.
Melalui Instagram, Azhan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beretika, apatah lagi jika dikongsikan dengan orang ramai di media sosial.
Bersama hantaran berkenaan, pelakon tersebut turut berkongsi satu tangkap layar yang menunjukkan seorang individu secara terbuka mengakui menonton drama itu secara tidak sah.
“Kalau tengok dekat Telegram, tolonglah jangan beritahu kami. Siaran di Telegram ini cetak rompak, siaran tanpa izin,” katanya.
Berdasarkan hantaran berkenaan, individu itu bertindak menonton Khunsa di Telegram kerana rumahnya tidak melanggan perkhidmatan Astro.
“Penggambaran kami untuk menghasilkan Khunsa tidak mudah. Daripada November tahun lepas sampai hari ini pun masih belum selesai lagi.
“Macam-macam cabaran dan rintangan yang kalau diceritakan pun tiada orang nak kisah,” katanya lagi.
Kata Azhan, tindakan individu itu berkongsi secara terbuka perbuatannya telah melukakan hati dan perasaan penggiat seni sepertinya.
“Usaha dan penat lelah kami sangat tidak berbaloi,” ujar Azhan.
Untuk pengetahuan pembaca, Khunsa adalah drama terbaru yang ditayangkan di Astro. Drama berkenaan diarahkan oleh pengarah berbakat, Sharulezad Mohameddin.
Selain Azhar Rani, drama berkenaan turut dibintangi Nadia Aqilah, Sherry Alhadad dan ramai lagi.
Menonton cetak rompak tidak hormat penggiat seni dan industri hiburan
Semua orang mahukan hiburan dan kandungan hiburan semakin mudah diakses setiap hari. Namun, masyarakat perlu membuka mata bahawa perbuatan mengakses karya seni secara cetak rompak adalah perbuatan yang salah.
Cetak rompak adalah kegiatan buruk yang mampu melumpuhkan semangat penggiat seni dan industri hiburan tanah air.
Bukan itu sahaja, ia turut merugikan pekerja belakang tabir yang telah menghabiskan banyak masa dan usaha menghasilkan kandungan tersebut.
Tanpa pulangan yang setimpal, penggiat seni mungkin tidak dapat terus berkarya dan menghasilkan kandungan yang berkualiti di masa hadapan.
Industri hiburan adalah kerjaya profesional yang turut menyumbang kepada ekonomi negara. Oleh itu, adalah penting bagi orang ramai untuk menyokong industri hiburan serta menghargai karya seni secara sah demi pembangunan budaya dan kreativiti di tanah air.