Untung bersih TM melonjak 63.6 peratus kepada RM1.87 bilion

Untung bersih TM melonjak 63.6 peratus kepada RM1.87 bilion

 

Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) naik 63.6 peratus kepada RM1.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2023 daripada RM1.14 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2022 dalam persekitaran kos kewangan bersih dan impak cukai yang lebih rendah.

Kumpulan telekomunikasi itu berkata hasil meningkat kepada RM12.26 bilion pada tahun kewangan 2023 daripada RM12.12 bilion sebelum ini didorong oleh prestasi kukuh Unifi dan TM Global.

“Langganan jalur lebar tetap Unifi merekodkan pertumbuhan 3.1 peratus, mencecah 3.13 juta manakala perolehan TM Global meningkat daripada permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan data domestik dan antarabangsa,” katanya.

Perbelanjaan modal (capex) kumpulan bagi tahun kewangan 2023 berjumlah RM1.9 bilion atau 15.9 peratus daripada hasilnya yang bertujuan untuk mengembangkan infrastruktur rangkaian TM ke seluruh negara dan sistem kabel dasar laut serantau.

TM juga mengumumkan dividen interim kedua dan dividen akhir berjumlah 15.5 sen sesaham berjumlah RM594.9 juta.

Pada suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih TM melonjak 170.6 peratus kepada RM433.53 juta berbanding RM160.18 juta yang dicatatkan pada suku yang sama bagi tahun kewangan 2022 manakala hasil meningkat 5.1 peratus kepada RM3.13 bilion berbanding RM2.98 bilion sebelum ini.

Prestasi yang lebih baik kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan dalam data, perkhidmatan Internet dan multimedia serta perkhidmatan telekomunikasi lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Amar Huzaimi Md Deris, berkata TM telah mengekalkan prestasinya dalam persekitaran landskap kawal selia yang mencabar, persaingan semakin sengit dan dinamik pasaran yang berkembang.

“Penyelesaian konvergen kami, dipadankan dengan pakej menarik terus menarik minat pelanggan TM, mengukuhkan kedudukan kami sebagai satu-satunya Konvergen Mudah Alih Tetap dengan ‘quad-play’ di Malaysia.

“Pengembangan secara berterusan liputan gentian kami di seluruh negara, ditambah dengan peningkatan infrastruktur data dan rangkaian juga telah menyumbang kepada pertumbuhan TM,” kata Amar Huzaimi.

Dalam telekomunikasi, ‘quadruple play’ atau ‘quad play’ ialah istilah pemasaran yang menggabungkan tiga perkhidmatan penting iaitu jalur lebar internet, televisyen dan telefon dengan ketersediaan tanpa wayar.

Beliau berkata TM kekal komited untuk mempromosikan keterangkuman digital dan penggunaan digital lebih luas dan pada masa sama memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin berkembang di peringkat domestik dan antarabangsa.

TM kini memberi tumpuan untuk berkembang menjadi pusat kuasa digital menjelang tahun 2030 dan meletakkan Malaysia sebagai hab digital untuk rantau ini, seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi masyarakat digital bersepadu sepenuhnya.