Untung berbilion, jenama Hermes umum bonus lebih RM20,000 kepada pekerja di seluruh dunia

Untung berbilion, jenama Hermes umum bonus lebih RM20,000 kepada pekerja di seluruh dunia

 

Beg tangan merupakan antara barangan peribadi yang paling banyak dikumpul oleh wanita.

Selain untuk kegunaan seharian, ada beg tangan yang dibeli adalah model terhad yang dikumpul untuk dijadikan koleksi.

Antara faktor yang menyebabkan sesuatu beg tangan itu menjadi menarik adalah reka bentuk, warna, harga serta jenamanya.

Beg tangan-beg tangan yang dikategorikan sebagai premium atau barang mewah adakalanya dijual pada tanda harga mencecah ratusan ribu ringgit.

Jenama-jenama beg tangan ini biasanya berpangkalan di luar negara, antaranya adalah jenama Hermes yang mana setiap modelnya menjadi buruan ramai.

Maka tak hairanlah, Hermes pada 9 Februari lepas mengumumkan jenama itu berjaya mencatatkan rekod jualan dan rekod keuntungan pada tahun lepas.

Menurut CNA, Hermes mencatatkan keuntungan sebanyak RM21.92 bilion pada 2023, meningkat sebanyak 22 peratus berbanding 2022.

Peningkatan untung itu selepas jenama tersebut mencatatkan jualan sebanyak RM63.86 bilion pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus.

Susulan itu, Hermas turut mengumumkan akan memberikan bonus lumayan kepada kira-kira 22,000 kakitangannya di seluruh dunia.

Menurut CNA lagi, setiap kakitangannya akan menikmati bonus sebanyak RM20,493 seorang.

Pemberian bonus berkenaan adalah sesuai dengan polisi jenama itu yang mahu mengagihkan keuntungan kepada semua pihak yang menyumbang kepada syarikat.

Malah, Hermes juga sedang mempertimbangkan untuk menaikkan agihan dividen kepada semua pemegang sahamnya.

Dalam pada itu, pengumuman keuntungan yang dibuat juga menyaksikan saham Hermes meningkat sebanyak 4 peratus kepada RM11,063 pada Jumaat.

Terdahulu, syarikat EV premium China, Li Auto dilapor turut akan memberikan bonus tahunan sebanyak empat hingga lapan bulan gaji kepada hampir 20,000 pekerjanya.

Memetik SCMP, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Li Xiang berkata pemberian bonus tersebut sebagai menghargai kerja keras kakitangannya.

Syarikat itu berjaya menjual sebanyak 376,030 kenderaan EV premium pada 2023. Jumlah jualan tahun ke tahun itu melonjak sebanyak 182 peratus dan melebihi sasaran jualan 300,000 unit yang ditetapkan.