“Untuk kaum wanita” –  Jururawat ini telah menjaga pesakit kanser payudara selama 25 tahun, mulakan kumpulan sokongan

“Untuk kaum wanita” –  Jururawat ini telah menjaga pesakit kanser payudara selama 25 tahun, mulakan kumpulan sokongan

 

Setiap kali seorang pesakit kembali ke Klinik Payudara Hospital Tan Tock Seng (TTSH) untuk janji temunya selepas menjalani pembedahan mastektomi berganda bagi membuang payudara, dia akan mula menangis.

Pada saat itulah jururawat klinik kanan penjagaan payudara Patmavathy Chellaiyya melangkah masuk. Dia memegang tangan pesakit dan hanya mendengar.

Pesakit tersebut sedang bersedih. Dia menghidap barah payudara peringkat awal, tidak lagi mempunyai payudaranya, dan dia tidak pasti bagaimana dia boleh membayar bil hospitalnya. Selain itu, dia berasa bimbang untuk kembali bekerja selepas menjalani mastektomi.

Akhirnya, pesakit tersebut kembali tenang dan dapat mempertimbangkan beberapa pilihan yang dicadangkan oleh Patmavathy: Ia termasuklah sokongan kewangan untuk bil perubatannya, kaunseling untuk mengatasi kesan psikologi terhadap barah payudara, dan pembedahan membuat semula payudara sekiranya dia ingin mempunyai payudara baru.

Sebelum meninggalkan klinik, dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada Patmavathy, yang memberitahu si pesakit: “Anda boleh melakukannya.”

Interaksi seperti ini adalah perkara biasa bagi Patmavathy, yang telah menjadi jururawat rawatan penjagaan payudara selama 25 tahun dalam kerjaya kejururawatannya selama 44 tahun.

Patmavathy memulakan kerjayanya dalam kejururawatan di TTSH pada usia 20 tahun pada 1979. Sejak itu Patmavathy sentiasa bersemangat untuk membantu orang lain.

Pada tahun 1993, selepas bekerja lebih dari 10 tahun di pelbagai unit perubatan di hospital itu, dia ditugaskan untuk berkhidmat dalam bahagian onkologi di klinik pembedahan umum. Tugasnya: Menjaga pesakit barah.

“Menjaga pesakit barah telah membuka mata saya,” kata jururawat kanan berusia 64 tahun itu. “Apabila saya melihat bagaimana pesakit menderita, ia memberi kesan kepada saya dan saya mahu berada di samping mereka secara emosi.”

Didorong oleh minat barunya dalam penjagaan pesakit barah, beliau pernah menjalani latihan di bekas sekolah kejururawatan Hospital Besar Singapura untuk belajar tentang barah payudara dan penjagaan payudara.

“Pembelajaran itu mengubah hidup saya,” katanya. “Kerana saya seorang wanita, dan payudara adalah sesuatu yang sangat berkait rapat dengan seorang wanita, saya memang boleh rasakan apa yang dirasai oleh pesakit-pesakit itu – ia menjangkaui penjagaan klinikal.”

Selepas menjalani latihan, Patmavathy bertekad untuk membawa apa yang telah dipelajarinya kembali ke TTSH, yang pada masa itu tidak mempunyai jabatan penjagaan payudara.

Pada tahun 1998, sebuah unit kepakaran penjagaan payudara ditubuhkan dalam klinik pembedahan umum TTSH, dan pada tahun 2010, unit kepakaran itu berkembang menjadi Klinik Payudara TTSH. Patmavathy memainkan peranan penting dalam kedua-dua usaha itu dan dianggap sebagai salah seorang pengasasnya.

Kerana saya seorang wanita, dan payudara adalah sesuatu yang sangat berkait rapat dengan seorang wanita, saya memang boleh rasakan apa yang dirasai  pesakit-pesakit itu.”

“Pada masa itu, dalam tahun 1990-an dan awal 2000-an, saya adalah satu-satunya jururawat di hospital itu yang mempunyai kemahiran klinikal yang berkaitan dengan rawatan penjagaan payudara dan banyak yang masih belum diketahui mengenai barah payudara,” katanya.

“Adalah sesuatu yang melegakan apabila kita difahamkan bahawa penjagaan payudara kini bertambah baik, dengan lebih ramai pesakit boleh menerima rawatan yang sesuai.”

Menjadi seorang jururawat penjagaan payudara melibatkan lebih daripada memiliki pengetahuan teknikal, kata Patmavathy. Kita juga perlu tahu bagaimana menjaga emosi wanita: “Pesakit sering kebingungan tentang bagaimana mereka akan berdepan dengan maklumat yang berkaitan dengan penyakit mereka,” katanya.

Adalah penting untuk membenarkan para pesakit melepaskan kekecewaan dan kesedihan mereka atas apa yang mereka lalui, tambahnya.

“Ada seorang pesakit yang sangat terluka selepas didiagnosis dengan barah payudara, dan kami tidak pasti mengapa atau apa yang perlu dilakukan,” katanya.

“Tetapi selepas beberapa temu janji – dan selepas dia memberitahu saya bahawa dia enggan melalui pembedahan mastektomi – dia mendedahkan bahawa ia kerana suaminya telah mengugut untuk meninggalkannya jika dia membuang payudaranya, walaupun barah itu telah merebak.

Dengan mendengar rungutan pesakitnya, Patmavathy boleh memahami keperluan mereka dengan lebih baik dan dapat mengarahkan mereka ke jabatan lain untuk rawatan lanjut. Ini biasanya merangkumi rujukan untuk kaunseling atau sokongan kewangan.

“Menjaga pesakit barah payudara adalah perkara terbaik yang pernah terjadi kepada saya, secara peribadi mahupun profesional,” kata Patmavathy kepada CNA Women. “Ia bukan mudah, tetapi memuaskan. Setiap kali saya berjumpa dengan seorang pesakit, saya diingatkan mengapa saya harus bekerja keras sebagai seorang jururawat dan mengapa saya senang untuk melakukan lebih dari itu.”

Dua tahun selepas TTSH membentuk unit kepakaran penjagaan payudaranya, Patmavathy menyedari bahawa penjagaan barah payudara adalah lebih daripada rawatan perubatan. Dia juga menyedari bahawa pesakit barah payudara tidak tahu kepada siapa yang harus mereka hubungi untuk dapatkan maklumat atau pertolongan.

Ini mendorong beliau untuk memulakan Kumpulan Sokongan Barah Payudara TTSH pada tahun 2000, salah satu daripada beberapa kumpulan sedemikian pada masa itu.

“Saya ingin memulakan satu kumpulan yang boleh membantu pesakit barah payudara meringankan kesepian mereka,” kata Patmavathy. “Jadi kumpulan sokongan ini merupakan susulan pilihan selepas janji temu di hospital, di mana pesakit boleh bertemu dengan pesakit lain atau golongan yang telah sembuh.”

Pada masa itu, kumpulan tersebut terdiri daripada jumlah wanita tidak rasmi yang hanya mempunyai nombor telefon masing-masing.

“Ia satu permulaan yang sangat kecil. Selain daripada diri saya yang menjadi pemudah-cara (facilitator), hanya terdapat kira-kira lima pesakit wanita dan golongan yang telah sembuh,” katanya.

“Tetapi ramai lagi telah menyertai kami, dan sesetengah daripada golongan yang sembuh pula  menjadi kaunselor terlatih di bawah Yayasan Barah Payudara — ini semua banyak membantu pesakit-pesakit.”

Setiap kali saya berjumpa dengan seseorang pesakit, saya diingatkan mengapa saya harus bekerja keras sebagai seorang jururawat dan mengapa saya senang untuk melakukan lebih dari itu.”

Beberapa golongan yang telah sembuh dan sesetengah pesakit telah meninggalkan kumpulan itu, ada yang masih berada di sini, dan ada juga yang telah meninggal dunia — tetapi setiap daripada mereka telah meninggalkan satu kesan istimewa.”

Pada tahun 2017, Patmavathy memulakan dua kumpulan sembang WhatsApp untuk kumpulan sokongan itu. Yang pertama, TTSH Beautiful Ladies, mewakili jawatankuasa wanita yang bertanggungjawab menganjurkan aktiviti untuk semua ahli. Ini termasuk pesakit yang telah selesai rawatan, golongan yang telah sembuh daripada barah payudara dan beberapa kakitangan klinikal.

Yang kedua, Warriors, menawarkan teman dan ketenteraman kepada pesakit barah payudara. Mereka mungkin sedang menjalani rawatan, atau masih dalam penafian dan ketidakpercayaan ketika  berdepan dengan diagnosis mereka.

“Dalam kumpulan itu, mereka akan berkongsi gambar kepala mereka yang dicukur, payudara mereka selepas pembedahan mastektomi atau pembinaan semula payudara, ahli keluarga mereka, haiwan peliharaan mereka, ketika kembali bekerja,” katanya. “Ini semua sangat manis untuk dikongsi.”

Akhirnya, kumpulan sokongan itu mula menganjurkan aktiviti supaya ahli dapat berinteraksi antara satu sama lain.

“Para wanita akan merancang makan tengah hari dan keluar bersiar-siar selepas sesetengah pesakit selesai dengan janji temu mereka di hospital supaya mereka mempunyai satu aktiviti bersama yang dinanti-nantikan, tidak kira apa hasil keputusan temu janji mereka di klinik,” kata Patmavathy.

“Mereka juga akan berkongsi kata-kata yang memberi semangat, harapan, keyakinan diri, supaya tidak berputus asa, tidak kira betapa buruknya keadaan mereka,” katanya.

Kumpulan sokongan itu juga berfungsi sebagai “lubang” atau sumber, di mana wanita akan berkongsi tip dan tawaran membeli-belah, seperti di mana untuk mencari rambut palsu yang berkualiti, tempat menderma rambut serta rawatan dan perkhidmatan spa.

Sejak penubuhannya pada tahun 2000, Kumpulan Sokongan Barah Payudara TTSH telah menganjurkan berpuluh-puluh aktiviti dan menemani lebih 100 wanita dalam perjalanan mereka melawan barah payudara. Ia kini mempunyai kira-kira 30 ahli yang aktif.

“Ia sangat menyentuh perasaan apabila melihat bagaimana kumpulan ini telah berkembang sejak penubuhannya,” tambah Patmavathy. “Beberapa golongan yang telah sembuh dan sesetengah pesakit telah meninggalkan kumpulan itu. Ada yang masih berada di sini, dan ada juga yang telah meninggal dunia — tetapi semua daripada mereka telah meninggalkan satu kesan istimewa dan membuat sekurang-kurangnya seorang wanita merasa kurang kesepian.”

“Sesiapa yang menghidap barah payudara perlu tahu bahawa ia bukan satu hukuman mati dan mereka tidak perlu melaluinya secara bersendirian. Sama ada dengan pasangan, anak-anak, golongan yang telah sembuh, kaunselor, doktor atau jururawat, ia adalah sesuatu yang boleh mereka hadapi bersama dengan orang lain.

Ketika Patmavathy mengimbas kembali kerjayanya yang dihabiskan untuk menjaga pesakit barah payudara, dia rasa bersyukur.

“Ini semua untuk kaum wanita,” katanya. “Ia boleh memenatkan saya apabila saya perlu berdamping  secara emosi untuk para pesakit. Tetapi saya juga menganggap itu sebagai kekuatan saya dan ia memberi saya banyak kepuasan dan tenaga.”