Uncle selamba payung ‘pull-up bar’ sebelah tangan buat abang sado terkedu

Uncle selamba payung ‘pull-up bar’ sebelah tangan buat abang sado terkedu
‘Bermain bar’ atau calisthenics merupakan antara sukan yang memerlukan atlet menggabungkan gimnastik berirama bersama gerakan senaman ringkas.
Sukan ini kebanyakannya diminati oleh golongan muda kerana ia sangat mencabar dari segi fleksibiliti, ketepatan, kawalan, kekuatan dan koreografi tubuh badan.
Maka tidak hairanlah jika golongan muda yang melakukan aktiviti ini pastinya mempunyai bentuk tubuh badan yang sasa (sado).
Pun begitu, ‘don’t judge a book by its cover’ kerana mereka yang sudah berusia dan berbadan biasa juga mungkin boleh melakukan sukan tersebut seperti seorang lelaki warga emas ini yang tular videonya di media sosial.
Video tersebut dikongsikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Azzam di akaun TikTok miliknya (@azzamdumbell) yang telah melihat aksi warga emas terbabit di sebuah kawasan taman rekreasi di Taiping, Perak.
Malah, Azzam yang juga memiliki badan sasa seakan terkedu kerana tidak menyangka lelaki itu masih kuat meskipun telah berusia.
“Uncle ini betul-betul menghina aku secara halus,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lebih mengejutkan, warga emas berkenaan melakukan aksi pull-up bar itu dengan hanya menggunakan sebelah tangannya sahaja.
Dia juga kelihatan seolah-olah tidak perlu berusaha keras untuk mengangkat dirinya sendiri dengan hanya sebelah tangan.
Dalam video sama, Azzam dilihat cuba membuat aksi sama seperti warga emas terbabit dengan sebelah tangannya, namun dia hanya dapat melakukannya seketika sahaja.
@azzamdumbell Uncle ni betul2 menghina aku secara halus🫠 #gym #workout
♬ Funny video “Carmen Prelude” Arranging weakness(836530) – yo suzuki(akisai)
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut terpegun melihat aksi warga emas berkenaan.
Tidak kurang juga yang terhibur melihat reaksi Azzam yang terasa dirinya seolah-olah dihina secara halus.