Umno sudah muak dengan drama Pas

Umno sudah muak dengan drama Pas

 

Pimpinan tertinggi Pas diminta untuk mengamalkan sikap berterus terang dan berhenti bermain wayang berhubung kerjasama parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia juga bagi menjawab persoalan mengapa parti berkenaan tiba-tiba berbicara kembali mengenai kerjasama MN selepas dilihat selesa bersama Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mempersoalkan sama ada pendirian Pas untuk kembali semula bersama UMNO itu dibuat selepas melihat kegagalan teruk mereka ketika bersama PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

“Cukup-cukuplah Pas berdrama mengenai kerjasama MN dan UMNO ini.

“Lepas dua tahun pengalaman MN dan mendalami tingkah laku pemimpin Pas, saya bertambah yakin bahawa UMNO sahaja yang ikhlas memperjuangkan kepentingan Islam serta orang Melayu.

“Selama ini, Pas yang selalu cabuli semangat MN, Pas cabar maruah dan angkuh dengan UMNO tetapi tiba-tiba bila sudah terhantuk baru hendak sebut balik pasal kerjasama,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Pas menerusi Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad memaklumkan parti berkenaan dijangka menentukan hala tuju parti itu sama ada terus bersama PN, MN dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dipercayai dibangkitkan pelbagai pihak susulan kegagalan parti berkenaan meraih sebarang kerusi ketika bersama gagasan PN dalam PRN Melaka pada Sabtu.

Nur Jazlan turut mendakwa bahawa agenda perpaduan ummah yang dilaungkan oleh Pas sebelum ini hanya retorik politik apabila parti itu lebih mengejar jawatan dan kuasa ketika bersama PN.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, jika benar Pas mahukan penyatuan ummah sepatutnya parti itu bekerjasama dengan UMNO yang memiliki keahlian lebih tiga juta, bukannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Namun bila Pas melihat segala kelemahan sebenar PN terutamanya Bersatu, baru mereka sedar dan mula terhegeh-hegeh balik dengan UMNO,” katanya.

Secara peribadi, beliau melihat sudah tidak ada lagi istilah kerjasama MN dan yakin UMNO serta BN akan kembali bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Nur Jazlan juga meminta pucuk pimpinan tertinggi UMNO segera membuat keputusan sama ada mahu memuktamadkan atau menamatkan MN.

“Maruah UMNO tidak boleh lagi selamanya dicabar dan dicalarkan oleh Pas dalam masalah MN ini sebaliknya parti itu perlu bertegas sebelum tiba PRU15.

“Peringkat akar umbi UMNO sebenarnya sudah muak dengan isu kerjasama dengan Pas ini.

“Ramai ahli mahu UMNO tamatkan sahaja kerjasama MN kerana ia banyak mendatangkan keburukan kepada parti berbanding kebaikan,” katanya.

COMMENTS