Umno keluar kerajaan PN 7 Julai?

Umno keluar kerajaan PN 7 Julai?

UMNO dijangka akan membuat keputusan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 7 Julai ini, selepas beberapa desakan yang dibuat kepimpinan parti itu tidak diendahkan.

Menurut sumber Umno, Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memanggil Ahli Majlis Tertinggi (MT) serta Ahli Parlimen Umno untuk menandatangani surat persetujuan bagi meninggalkan PN.

“Presiden panggil seorang demi seorang memandangkan ketika ini negara masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ahli Parlimen Umno diminta menandatangani surat persetujuan untuk meninggalkan PN. Jika ingkar mereka akan dipecat.

“Umno akan bermesyuarat pada 7 Julai nanti dan bakal membuat keputusan meninggalkan kerajaaan PN,” katanya kepada Malaysiapost.

Sejak semalam tersebar spekulasi mengenai tindakan Umno yang akan meninggalkan kerajaan PN.

Malah beberapa media turut melaporkan perkara itu.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lalu telah membuat ketetapan parti itu akan memutuskan kerjasama dengan PN dan Bersatu selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sementara itu seorang lagi sumber yang juga Ahli MT Umno mendedahkan tindakan Ahmad Zahid kali ini adalah manifestasi terhadap tuntutan parti itu supaya kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Katanya, Umno juga melihat PN tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong demi kebaikan negara dan ia jelas bertentang dengan prinsip parti itu.

“Umno adalah parti yang menjunjung tinggi Parlembagaan dan Raja-Raja Melayu berasa tidak kena dengan tindakan kerajaan PN yabg ingkar terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, kita perlu buat sesuatu dan memberi tekanan kepada kerajaan yang ada hari ini dan kita perlu menjarakkan diri,” katanya.

Sumber: Malaysiapost