Ulang alik 300km setiap hari demi cari rezeki jual sayur di KL, wanita ini terkejut dapat hadiah motosikal

Ulang alik 300km setiap hari demi cari rezeki jual sayur di KL, wanita ini terkejut dapat hadiah motosikal

 

Rezeki berganda diterima Siti Norol Salwani Ismail, ibu seorang anak yang kisahnya tular kerana sanggup menunggang motosikal hampir 300 kilometer (km) dari Changkat Jering, di sini ke Kuala Lumpur semata-mata mahu berniaga sayuran kampung.

Selepas menamatkan kehidupan sebagai ibu tunggal pertengahan bulan lalu, dia menerima pula hadiah motosikal Yamaha LC 135, ihsan pihak yang bersimpati dengan kisah hidupnya.

Ketika dihubungi hari ini, anak kelima daripada 10 beradik ini, mengakui tidak menyangka kisahnya akan tular dan mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk stesen radio.

“Selepas kisah saya tular dan disiarkan media, ramai mendoakan keselamatan dan ada yang cadang saya bawa kereta. Namun, saya cuma ada motor dan tiada kereta, malah tak pandai pun memandu kereta,” katanya.

Siti Norol Salwani juga dihubungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tujuan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

“Alhamdulillah rezeki makin meluas. Saya turut dihubungi beberapa stesen radio, ada yang bercadang taja RM2,000 untuk duit pendahuluan motosikal baharu,” katanya memaklumkan motosikal sedia ada miliknya sering rosak.

Katanya, pada 22 Februari lalu, stesen radio Hot FM mengundang ke konti, malah mengajak orang ramai membantu menyumbang motosikal atau kereta untuknya.

“Semua bagaikan mimpi. Alhamdulillah perkara itu menjadi nyata apabila saya menerima hadiah motosikal Yamaha LC135 baharu 7 Mac lalu,” katanya menganggap ia hadiah perkahwinan terbesar diterima selepas mendirikan rumah tangga dengan Hazimin Radzi, 34, pada 16 Febuari lalu.

Ibu seorang anak ini memaklumkan perniagaannya terhenti sementara awal tahun ini kerana sibuk membuat persiapan perkahwinan kali kedua, selain motosikal sering rosak, namun bercadang kembali berniaga selepas Aidilfitri nanti.

Pada 20 Februari lalu, BH Online menyiarkan kisah Siti Norol Salwani yang sanggup menempuh perjalanan lebih empat jam dengan menunggang motosikal dari Changkat Jering untuk berniaga sayuran kampung di ibu negara.

Dia yang berstatus ibu tunggal sebelum berkahwin kali kedua, ketika itu cekal berniaga seminggu sekali di Kuala Lumpur demi menyara anak lelaki berusia 10 tahun.