Ujian besar buat Poku malam ini
Dulu musuh sekarang kawan. Begitulah fakta menarik mengenai Awang import baharu Perak, Nana Poku yang pernah menyumbat dua gol ke atas Perak ketika mewakili UiTM FC di awal musim.
Dalam perlawanan Liga Super di Ipoh pada 7 April lalu, penyerang Ghana berusia 29 tahun itu menyumbat dua gol untuk meletakkan UiTM 2-0 di depan.
Bagaimanapun Perak bangkit untuk memadam defisit itu dengan menyumbat tiga gol untuk menang 3-2 akhirnya.
Kini Poku akan menggalas tugas sebagai pembidik utama pasukan Bos Gaurus apabila bermula perlawanan dengan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Perlawanan ini sudah tentu ujian besar buat Poku yang diharap mampu menjadi penyelesai ketumpulan jentera serangan The Bos Gaurus.
Setidak-setidaknya itu harapan pengurus baharu Perak FC, Ishsam Sharuddin yang berharap Bos Gaurus beroleh kemenangan sebagai hadiah istimewa buat mengubat keresahan peminat ketika ini.
“Saya berharap Poku akan membalas kepercayaan Perak terhadapnya dengan menyumbat gol malam ini.
“Pemain Perak perlu bersatu dan bangkit dalam perlawanan ini untuk menebus maruah yang tercalar setakat ini, ” kata Ishsam ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan lain, pengurus Perak itu tidak akan tunduk kepada tekanan penyokong supaya menggantikan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt berikutan rentetan kekalahan pasukan itu.
“Saya berharap penyokong tidak terlalu mendesak, berilah peluang kepada jurulatih dan pemain yang sedang melalui masa sukar.
“Sepatutnya dalam keadaan sekarang penyokong berdiri teguh di belakang pasukan bukan menjadi kumpulan pendesak, ” katanya. – Utusan