Ugut bunuh adik, peniaga dipenjara 24 bulan

Ugut bunuh adik, peniaga dipenjara 24 bulan

Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap adiknya dengan mengacukan pisau lipat, Isnin lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Hanif Wan Nik Azhar, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak atas pertuduhan yang dibaca mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke arah Wan Hazman Haikal di sebuah rumah tidak beralamat di Kampung Pulau, Padang Rengas, di sini, kira-kira jam 3 petang, 16 November lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hanida Abdul Kadir dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Heninie Suraya Hanafi.

Rohaida menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 17 November.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Baysaruddin Hassan, 42, didakwa menyeludup seorang lelaki India bernama Jaswinder Singh yang tiada nombor pasport di Kaunter Kawalan Pemeriksaan Keluar KK1, Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu kira-kira jam 3.40 petang pada 20 Mei tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen, Siti Rovinna Mohd Rawi dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Rovinna bagaimanapun mengemukakan izin mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi untuk dibacakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Rohaida membenarkan permohonan itu dan menetapkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Taiping tanpa menetapkan tarikh.

Sumber: Suara Perak