Tuntutan tanah 999 tahun bercanggah Kanun Tanah Negara – MB Perak

Tuntutan tanah 999 tahun bercanggah Kanun Tanah Negara – MB Perak

 

Rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baru di negeri ini kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau memahami masalah dialami DAP kerana mereka sudah menjanjikan perkara itu kepada penyokongnya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dibuat kerana Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tiada istilah tanah 999 tahun yang ada hanyalah pajakan tanah 99 tahun.

“Tetapi oleh kerana DAP sudah menjanjikan kepada penyokongnya maka dia cuba sedaya upaya untuk menggambarkan bahawa mereka berjuang sehingga ke saat akhir.

“Dia (DAP) boleh berjuang tetapi perlembagaan sudah menetapkan tidak boleh… maka ia tidak boleh dibuat jadi saya percaya DAP dan penyokong memahaminya,” katanya kepada BH Online selepas Majlis Makan Malam Menteri Besar Perak bersama media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Saarani berkata, jika diikutkan tuntutan DAP itu bukan hanya berjuang untuk tanah kampung baru sahaja tetapi termasuk Rancangan Kampung Tersusun Melayu dan kampung tradisi namun tidak kira apa pun Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tidak boleh maka ia tidak akan dapat dilaksanakan.

“Jadi saya tidak nampak itu akan menghantui rakyat Perak dan menghantui Menteri Besar sebab kita ada pegangan yang sah dari segi ketetapan dibuat dalam Kanun Tanah Negara,” katanya.

Isu status hak milik tanah 999 tahun kampung-kampung baharu di Perak sebelum ini diperjuangkan DAP.

Pada majlis sama, Saarani turut mengulangi pendirian kerajaan diterajuinya tidak akan dikuasai DAP seperti dibimbangi pihak tertentu.

Saarani berkata, beliau memahami pengalaman pahit yang dialami bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika itu kerana dia menjadi menteri besar dalam keadaan beliau hanya memiliki satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala yang lain didominasi komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Katanya, beliau (Ahmad Faizal) bersendirian dalam exco kerajaan ketika itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) di mana ada sembilan kerusi DUN.

“Kita diberi kepercayaan untuk bersama-sama sebagai pembuat dasar iaitu BN mempunyai seorang menteri besar, seorang speaker dan tiga exco.

“Jadi saya yakin apa yang dibimbangi dan ditakuti Datuk Seri Peja tidak akan berlaku pada zaman saya…Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Ahmad Faizal menyifatkan pembentukan kerajaan negeri Perak menerusi gabungan PH dan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dikuasai DAP.

Menurut beliau, alasan bahawa keputusan menubuhkan kerajaan bersama PH demi kepentingan rakyat, akan membolehkan DAP menguasai pentadbiran kerajaan negeri.