Tular video berlaku kekecohan istiadat pengebumian mangsa helikopter TLDM, polis sahkan terima laporan

Tular video berlaku kekecohan istiadat pengebumian mangsa helikopter TLDM, polis sahkan terima laporan

 

Pada malam semalam tular beberapa klip video menunjukkan kekecohan berlaku sewaktu ketibaan jenazah nahas helikopter TLDM, Allahyarham Muhammad Firdaus yang dalam perjalanan dengan penuh istiadat ke tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan telah menerima laporan berhubung kekecohan berlaku itu.

Laporan berkenaan dibuat seorang lelaki yang juga pemandu kereta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, tengah malam tadi.

“Berhubung kejadian itu, polis sudah terima satu laporan daripada seorang lelaki yang juga pemandu kereta berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Cermin kereta pada bahagian pemandu pecah, namun pemandu kenderaan itu tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Netizen mendakwa individu yang mendakwa berada di lokasi ketika kejadian, pemandu kereta terbabit disifatkan sebagai tidak sabar dan tidak menghormati urusan istiadat berkenaan.

Difahamkan lebih 1,000 jemaah hadir ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM itu.