Tular video bergaduh guna rotan sampai jalan sesak, lima lelaki sedang dikesan polis

Tular video bergaduh guna rotan sampai jalan sesak, lima lelaki sedang dikesan polis

 

Polis sedang mengesan lima lelaki warga tempatan yang terbabit dalam pergaduhan di jalan raya di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun, Ulu Kinta, di sini.

Ia susulan video tular mengenai kejadian itu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang Khamis lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh dengan menggunakan senjata, berikutan paparan video tular berdurasi 16 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata iaitu kayu rotan dalam pergaduhan berkenaan.

“Kini, polis sedang menyiasat punca kejadian itu dan mengesan individu yang terbabit dalam kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menerusi video tular berkenaan, menunjukkan seorang lelaki dipukul di atas jalan raya oleh tiga lelaki yang mengenakan topi keledar selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

 

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kes diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.