Tular tulisan ‘Made In Malaysia’ pada palam pintu pesawat Alaska Airlines, ini penjelasan menteri

Tular tulisan ‘Made In Malaysia’ pada palam pintu pesawat Alaska Airlines, ini penjelasan menteri

 

Tiada laporan rasmi dibuat mengenai tulisan tangan ‘Made In Malaysia’ (Buatan Malaysia) pada palam pintu pesawat Alaska Airlines yang tercabut, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan berkata, isu seumpama itu juga bukan di bawah bidang kuasanya dan memandangkan tiada laporan rasmi dibuat kepada kementerian berhubung perkara itu, beliau tidak akan mengulas mengenainya.

“Kami tidak menerima apa-apa maklumat dan itu bukan di bawah bidang kuasa saya. Saya tidak boleh mengulas mengenainya kerana laporan itu hanyalah daripada saksi awam.

“Jika ada sebarang laporan rasmi mengenai perkara ini, maka kami akan menelitinya,” kata Loke pada sidang media, Jumaat.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang laporan rasmi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan meneliti perkara itu.

Pada 5 Januari lalu, sebuah pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 melakukan pendaratan cemas di Portland, Oregon selepas palam pintu tercabut di udara.

Portal berita, Oregon Public Broadcasting (OPB) pada Selasa melaporkan pengalaman guru sekolah di Portland yang mendakwa menjumpai palam pintu yang tercabut dari pesawat, di halaman rumahnya.

Dilaporkan, tulisan tangan yang tertera pada palam pintu itu didakwa menyatakan ia dikilangkan di Malaysia.

Pintu itu dipercayai tercabut pada altitud 16,000 kaki (4,877 meter) sebelum terjatuh di laman belakang rumah guru berkenaan di pinggir bandar Oregon.

Sebelum ini, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) mengenal pasti kawasan itu sebagai salah satu tempat ia mungkin terjatuh.