Tular sekumpulan individu disyaki lepas 10,000 anak ikan keli di Sungai Hulu Bernam

Tular sekumpulan individu disyaki lepas 10,000 anak ikan keli di Sungai Hulu Bernam

 

Ikan keli merupakan antara spesies ikan air tawar yang menjadi kegemaran kebanyakan individu. Ini kerana ia enak apabila dinikmati walaupun dimasak dalam pelbagai menu.

Selain menjadi hidangan kegemaran segelintir rakyat Malaysia, ikan keli turut dijadikan sebagai haiwan dalam upacara ritual sesebuah agama.

Oleh itu, disebabkan permintaan yang tinggi, ada peniaga yang mengambil inisiatif untuk menternak haiwan tersebut.

Namun, ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab melepaskan ikan ini khususnya dari spesies keli afrika ke perairan umum yang dilihat boleh mengancam habitat ikan-ikan yang lain.

Terbaharu, menerusi kumpulan Facebook Tanjung Malim Kini, tular satu hantaran yang mendakwa sedang berlaku kegiatan melepaskan 10,000 anak ikan keli di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.

Menerusi hantaran tersebut, kelihatan video dan gambar yang menunjukkan beberapa individu sedang melepaskan anak ikan keli.

Malah, turut terdapat beberapa plastik mengandungi haiwan tersebut yang dipercayai dibawa oleh individu berkenaan dan akan dilepaskan ke dalam sungai itu.

Hantaran tersebut nyata menarik perhatian netizen. Rata-rata daripada mereka mengecam tindakan individu terbabit.

Walaupun hantaran tidak dinyatakan spesies ikan keli yang dilepaskan, namun ia tetap mengundang kerisauan warganet.

Bagi mereka, jika benar ia adalah keli import, perbuatan itu adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab kerana boleh mengancam dan menganggu habitat spesies ikan lain yang tinggal di sungai itu.

Malah, ada segelintir daripada mereka memohon agar pihak berwajib seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyiasat tindakan individu berkenaan.

Sekadar info, Jabatan Perikanan Malaysia sebelum ini pernah mengeluarkan senarai ikan bukan asli yang tidak boleh dilepaskan ke perairan umum.

Selain ikan Keli Afrika, ikan Tilapia, ikan Pacu atau Bawal Merah, Salmon dan Peacock Bass merupakan antara spesies yang turut tersenarai sebagai ikan bukan asli yang dilarang untuk dilepaskan ke perairan umum.