Tular perkongsian beg kecemasan untuk gempa, tsunami hingga cetus kekecohan, ini penjelasan Met Malaysia

Tular perkongsian beg kecemasan untuk gempa, tsunami hingga cetus kekecohan, ini penjelasan Met Malaysia

 

Perkongsian Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengenai keperluan beg kecemasan bagi gempa bumi dan tsunami mencetuskan ‘kekecohan’ kalangan warganet.

Ramai dilaporkan tersalah faham apabila menyangka hebahan infografik agensi itu dimuat naik menerusi akaun sosial kononnya akan ada bencana alam tersebut dalam masa terdekat.

Apatah lagi dua poster yang dipaparkan itu kelihatan begitu serius lengkap dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) dan kandungan beg itu yang wajib dimiliki oleh setiap rumah.

Bagaimanapun, hantaran unik yang tular dikongsi hampir 6,000 kali dalam kalangan netizen tempatan itu rupa-rupanya bersempena dengan acara Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021.

Malah, Met Malaysia yang menyedari kekeliruan ramai pengguna media sosial itu segera menambah ayat baharu di perenggan pertama: “Ini bukan amaran gempa bumi atau tsunami”.

Kenyataan itu sebaliknya memaklumkan ia sekadar perkongsian untuk pengetahuan dan peringatan am bersempena Hari Pengurangan Risiko Bencana Antarabangsa setiap 13 Oktober.

“Baru hantaran macam ini sudah panik, kalau jadi betul macam manalah kacau bilaunya. Semoga Allah jaga keluarga kita semua,” coret komen netizen bernama Nurhaizura Hasan.

“Persiapan macam ni memang penting, kalau kita di luar negara, banyak yang sudah buat beg kecemasan siap ada kit perubatan dan barang kelangsungan hidup,” tulis Faiz Fitri pula.

“Memang perlu persiapan sebegini, kena siap siaga sentiasa sebab isu kecemasan, bencana atau malapetaka alam, kita tidak tahu bila berlaku,” kata warganet dengan nama Wan Zakiah.

“Saya pun berasa wajar untuk satu rumah kena ada satu jaket keselamatan terutama kawasan yang berisiko ancaman banjir teruk,” sokong pengguna media sosial bernama Ailaz Zalia.

Hantaran Met Malaysia itu bukan sahaja meraih hampir 4,000 tanda suka, bahkan menerima lebih 1,700 komen netizen yang turut menyokong inisiatif kesiapsiagaan sepanjang masa.

Malaysia pernah mengalami gempa bumi terburuk pada 2015 yang menggegarkan Sabah dengan kekuatan 6 skala Richter serta membunuh 18 pendaki dan malim Gunung Kinabalu.

Negara ini juga ada pengalaman buruk berdepan tsunami dahsyat Lautan Hindi pada 2004 yang meragut 67 nyawa melibatkan penduduk di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Secara teori, Malaysia dianggap masih selamat daripada gempa dan tsunami kerana berada di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik tetapi tidak mustahil menerima bencana berkenaan.