Tular pelanggan tinggalkan nota hina Islam pada resit pesanan, Domino Pizza buat laporan polis

Tular pelanggan tinggalkan nota hina Islam pada resit pesanan, Domino Pizza buat laporan polis

 

Tular satu gambar resit Domino Pizza yang mengandungi nota menghina agama Islam. Perbuatan itu dipercayai dibuat oleh pelanggan yang membuat tempahan.

Dalam satu kenyataan, jurucakap rangkaian pizza itu berkata pihaknya telah mengambil tindakan ‘sesuai’ terhadap kedua-dua pelanggan dan kakitangan terbabit, petik Free Malaysia Today.

“Kami amat kecewa kerana seorang pelanggan membuat komen yang menyakitkan hati dan tidak menghormati (agama lain) ketika membuat pesanan mereka.

“Kami juga kecewa kerana salah seorang ahli pasukan kami berpendapat adalah wajar untuk berkongsi ini dalam talian, termasuk maklumat peribadi pelanggan,” kata jurucakap tersebut.

Dalam pada itu, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas bertemu dengan pengurusan wilayah utara dan penyelia cawangan rangkaian piza di Sungai Ara malam tadi.

Beliau berkata, ramai orang termasuk dirinya menyangka resit itu dicetak oleh juruwang.

“Sebenarnya, resit yang menjadi tular adalah daripada pesanan dalam talian dan bahagian kenyataan disalahgunakan oleh pelanggan terbabit,” katanya satu hantaran Facebook miliknya.

Sementara itu, Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan provokasi yang menghina agama Islam menerusi resit Domino Pizza itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perkataan yang dikeluarkan dengan niat sengaja untuk melukai perasaan agama, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana perkataan yang menghina dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan.