Tular nasi goreng sardin naik harga RM1.50 dalam masa sehari, KPDN siasat pihak restoran

Tular nasi goreng sardin naik harga RM1.50 dalam masa sehari, KPDN siasat pihak restoran

 

Sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur didakwa mengenakan harga berlainan kepada pelanggannya yang memesan hidangan nasi goreng sardin.

Menerusi dua keping resit tular, restoran berkenaan didakwa mengenakan menaikkan harga makanan itu sebanyak RM1.50 dalam masa sehari.

Jelas tertera pada resit itu, harga nasi goreng sardin adalah RM7.80. Manakala sebiji telur mata berharga RM1.90.

Bagaimanapun keesokannya apabila pelanggan tersebut membuat pesanan sama di restoran terbabit, dia terkejut apabila harga hidangan itu sudah naik sehingga RM9.30.

Susulan tularnya dua keping resit berkenaan dengan aduan kenaikan harga makanan dalam masa sehari, pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah digerakkan ke restoran tersebut untuk melakukan penyiasatan.

Menurut KPDN, setelah anggota penguat kuasa KPDN bertemu penyelia restoran, agensi itu mendapati bahawa harga RM9 sememangnya sudah ada pada buku menu.

“Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran itu mendapati harga nasi goreng sardin adalah RM9, manakala caj 30 sen bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.

“Bagi pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj SST sebanyak enam peratus,” katanya.

Menurutnya, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat terhadap justifikasi perbezaan harga terbabit.

“Kedua-dua resit itu sudah diserahkan kepada penyelia restoran untuk tindakan lanjut.

“Pihak restoran diberi amaran keras supaya sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, mematuhi undang undang dan tidak mengulangi kesilapan dilakukan.

“Pihak restoran memohon maaf atas isu yang berlaku dan bersedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara berbangkit,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.