Tular kartun ‘sindir’ rakyat, Jabatan Penerangan tetap pertahan penerbitannya

Tular kartun ‘sindir’ rakyat, Jabatan Penerangan tetap pertahan penerbitannya

 

Seorang pegawai kanan Jabatan Penerangan berharap warganet memandang mesej di sebalik kartun kontroversi yang disiarkan jabatan itu baru-baru ini yang dianggap segelintir pihak mengejek rakyat, iaitu sekadar sebagai peringatan supaya orang ramai berbelanja secara berhemah.

Awal hari ini, Jabatan Penerangan Johor dikecam oleh pengguna media sosial berikutan penyiaran satu kartun yang dimuat naik di laman Twitter. Kartun yang sudah pun dipadamkan itu bersertakan kapsyen “Utamakan keperluan. Berbelanjalah mengikut kemampuan. #KeluargaMalaysia #JabatanPenerangan”.

Dalam satu panel komik berkenaan, seorang suami digambarkan mengeluh mengenai perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan sementara isterinya berkata simpanan mereka hampir habis.

Pasangan yang sama kemudian dilihat tiba di Langkawi menaiki penerbangan, dengan si isteri berkata tidak sabar untuk membeli-belah.

Walaupun menerima kecaman di media sosial kerana didakwa mengejek tabiat berbelanja rakyat Malaysia dan mempersenda kesusahan rakyat, seorang pegawai dari ibu pejabat Jabatan Penerangan di Putrajaya memberitahu FMT bahawa kartun itu bukanlah bertujuan untuk menyindir sesiapa.

“Mungkin ia nampak pedas, namun kami tidak merasakan mesej itu kasar atau bermaksud mempersenda sesiapa pun,” kata seorang Penolong Pengarah di Unit Media Siber jabatan itu.

“Sudah tentu, kartun sangat subjektif, tetapi kita bersedia mengambil risiko.

Seorang budak lelaki menegur tiga wanita kerana tidak memakai pelitup muka dalam kartun yang disiarkan Jabatan Penerangan.

“Itulah risiko yang kami ambil dan sekarang kami harus mengatasinya. Tetapi kami tetap berpegang pada mesej dipaparkan, iaitu fokus kepada keperluan.

“Saya tidak kata jangan melancong. Jika ada duit dan kemampuan, silakan. Tetapi apa yang kami mahu rakyat Malaysia lakukan adalah fokus pada keperluan dan bukan kehendak mereka.”

Pegawai itu berkata, kartun seperti itu sedikit berbeza daripada norma jabatan, yang menurutnya kini mahu menumpukan perkongsian kandungan “segar” setelah dituduh “terlalu membosankan”.

Dengan menyatakan bahawa jabatan itu memilih menggunakan komik kerana ia “medium yang berbeza”, pegawai itu berkata bahawa isi kandungan yang memfokuskan pada isu semasa akan membolehkan agensi berkenaan bereksperimen dan mengukur reaksi orang ramai terhadap mesej tertentu yang disampaikan melalui watak kartun.

Pasukan kreatif di Unit Media Siber jabatan itu telah membuahkan idea untuk komik yang dihasilkan oleh artis dalamannya sebulan sekali sejak awal tahun ini, dan tidak hairanlah sebahagian besar daripadanya tertumpu kepada pandemik.

Kartun yang dipaparkan dalam Twitter Jabatan Penerangan pada awal tahun menunjukkan seekor monyet mengejek empat lelaki kerana tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Satu kartun dikongsikan sebelum ini memaparkan seekor monyet mengejek empat lelaki kerana tidak mematuhi SOP Covid-19, manakala satu lagi menunjukkan seorang budak lelaki menegur tiga wanita “membawang” tanpa memakai pelitup muka.

Kartun terbaru dikongsikan ini, bagaimanapun, yang paling mencetuskan kontroversi.

Antara yang mengkritiknya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mempertikaikan mengapa agensi itu “perli-perli rakyat” dan mempersoal motif di sebalik kartun berkenaan.

Dalam tempoh empat jam hantaran itu disiarkan di platform media sosial jabatan itu, dan kemudian dikongsi oleh cawangan negeri, pegawai itu berkata ia menerima 2,500 tanda suka, 300 komen dan 500 perkongsian.

“Kami menerima notifikasi tanpa henti mengenai hantaran itu, dan kami tidak pernah menjangkakan perkara seperti ini.

“Komennya bercampur-campur. Ada yang faham maksud yang ingin kami sampaikan, sementara banyak yang tidak memahami dan memberikan reaksi negatif.

“Kami menurunkan hantaran itu kerana kami ingin meredakan keadaan. Tetapi itu tidak bermakna kami merasakan tindakan kami salah,” katanya.

“Kami mahu pengikut (di media sosial) berfikir lebih mendalam mengenai subjek tertentu dan sebab kami mengongsikan kandungan seperti ini.

“Kami berharap ia dapat mewujudkan pemahaman lebih mendalam mengenai isu tertentu, contohnya perbelanjaan berhemah.”