Tular foto borang rentas negeri kosong bertandatangan, ini respon Ketua Polis Daerah Kemaman

Tular foto borang rentas negeri kosong bertandatangan, ini respon Ketua Polis Daerah Kemaman

SATU kertas siasatan berhubung kes dipercayai pemalsuan tandatangan melibatkan borang rentas negeri telah dibuka susulan penularan borang kosong bertandatangan di media sosial pada 7 April.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Bin Ramlan, kejadian melibatkan borang rentas negeri Balai Polis Chukai, Kemaman dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai.

“Pada 7 April 2021, tular borang rentas negeri Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu di mana satu borang rentas negeri kosong milik Balai Polis Chukai bertandatangan telah ditularkan di media sosial dengan tulisan “Dapat info SOP terbaru ialah approve dulu baru isi form”.

“Siasatan awal mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua Polis Balai Polis Chukai, Insp. Mohamad Ramizan bin Ramli,” katanya.

Jelas beliau, borang itu telah diberikan kepada seorang wanita yang memohon kebenaran merentas negeri untuk ke Kuala Lumpur bagi urusan temuduga pekerjaan pada 8 April ini.

Susulan itu, satu kertas siasatan polis telah dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemalsuan bagi maksud hendak menipu serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

COMMENTS