Tular dakwaan Hutan Simpan Piah akan musnah akibat pembalakan

Tular dakwaan Hutan Simpan Piah akan musnah akibat pembalakan

Tiga syarikat terlibat dalam projek Pembangunan Ladang Hutan di Hutan Simpan Piah dekat Lenggong dicadangkan agar bertukar ke kawasan lain susulan terdapat bantahan daripada penduduk kampung berdekatan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu berkata ketiga-tiga syarikat berkenaan memperoleh kelulusan permit penggunaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan seluas 400 hektar di kawasan berhampiran Mukim Temelong dan Mukim Kota Tampan.

Beliau berkata kelulusan yang diberikan sebelum ini adalah secara dasar kerana ia tertakluk kepada laporan disediakan oleh Pejabat Hutan Daerah dan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

“Pada masa ini pihak Pejabat Hutan Daerah sedang menyediakan laporan kesesuaian dan penilaian kesan sosial manakala pihak syarikat belum lagi menyediakan laporan EIA.

“Bagaimanapun pihak jabatan sedar tentang bantahan daripada tiga buah kampung yang terletak berdekatan dengan kawasan kelulusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Sekretariat Usahawan Perak (Step) dengan syarikat telco redONE Network Sdn Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, satu konsultasi bersama penduduk kampung telah diadakan dan dua kampung tersebut telah bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan manakala satu lagi kampung masih tetap tidak bersetuju dengan projek itu.

Sebelum ini, terdapat dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa Hutan Simpan Piah akan musnah akibat pembalakan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata beliau belum menerima laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia negeri Perak mengenai hasil pemantauan ke atas cerun berisiko di Perak.

Pada Rabu lepas, beliau mengarahkan supaya kerja-kerja pemantauan dipertingkatkan berikutan kejadian tanah runtuh yang meragut dua nyawa di sebuah resort pelancongan di Tambun, 10 Nov lepas.

Sumber: Malaysiakini