Tular dakwaan cat garisan jalan pudar di Lebuhraya Timur-Barat, ini reaksi Pemangku Pengarah JKR Perak

Tular dakwaan cat garisan jalan pudar di Lebuhraya Timur-Barat, ini reaksi Pemangku Pengarah JKR Perak

 

“Itu video lama,” demikian reaksi Pemangku Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Ir Hamdan Ali berhubung dakwaan cat garisan jalan pudar di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik yang tular.

Reaksi sama turut dimuat naik di Facebook (FB) rasmi JKR pada Khamis lalu.

Hamdan berkata, menerusi video berkenaan lokasi yang dimaksudkan adalah di Seksyen 126 hingga Seksyen 128.50 FT004 dan beliau menegaskan kerja pembaikan secara berkala sudah dilakukan pada 2020.

“Memang kita akui jalan itu teruk namun sekarang sebahagian daripadanya sudah dibaiki walaupun bukan sepenuhnya untuk jalan itu selesa dilalui pengguna jalan raya. Saya pun tak faham, rasanyalah aduan (video) itu adalah sebelum 2020 atau sebelum laluan di situ dibaiki.

“Memang dalam video itu perakam tidak menyatakan secara terperinci di seksyen mana lokasi garisan jalan pudar yang dimaksudkan itu namun kakitangan kita dari JKR Gerik semestinya lebih memahami selain mampu mengenal pasti lokasi yang dimaksudkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamdan berkata demikian sebagai mengulas video tular di Facebook (FB) bertajuk ‘Jalan Gerik-Jeli Merbahaya & Tidak Mempunyai Cat Garisan Jalan’.

Menurutnya, pembaikan jalan terbabit pada 2020 dilakukan secara Cold In-Place Recycling (CIPR) membabitkan nilai RM1.4 juta dan ia sudah siap dilaksanakan.

“Video terbabit sudah viral dalam aduan (kepada) JKR dan sudah dijawab dalam aduan berkenaan pada Jumaat lalu bahawa sebenarnya lokasi dalam video berkenaan sudah dibaiki,” katanya.

Hamdan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pembaikan jalan berkenaan secara keseluruhan pada tahun ini secara berperingkat dengan jangkaan siap adalah pada pertengahan tahun nanti.

Beliau berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan oleh kerajaan Pusat bagi membaiki segala kerosakan jalan berkenaan sehingga ke sempadan Kelantan.

Menurutnya, sebanyak RM5.4 juta daripada keseluruhan RM30 juta itu sudah diterima dengan setakat sekarang kerja dimulakan dengan mengecat garisan jalan pada seksyen jalan tertentu di laluan Gerik-Jeli.

“Sekarang, hanya kerja mengecat garisan jalan yang boleh dilaksanakan berikutan arahan kerajaan supaya menangguhkan sementara kerja pembinaan tidak kritikal sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kerja-kerja mengecat sudah dimulakan semalam memandangkan ia dianggap kritikal. Kerja yang dilakukan itu tidak akan mengganggu aliran trafik yang dijangka padat sempena musim perayaan,” katanya.