Tular aksi JPJ dikejar tonto?

Tular aksi JPJ dikejar tonto?

 

VIDEO kononnya aksi kejar mengejar di antara sebuah kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan beberapa buah kereta pancuan empat roda yang didakwa sebagai ‘tonto’ mula tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku pada 16 Februari lalu dirakam sebuah dashcam milik orang awam yang kemudiannya dimuat naik ke laman Facebook.

Video berdurasi 1 minit 10 saat itu memperlihatkan sebuah kereta JPJ memotong kenderaan pemilik dashcam sebelum dua lagi kereta pancuan empat roda muncul dan kelihatan seperti sedang mengejar kenderaan milik agensi penguatkuasa tersebut.

Beberapa saat kemudian dua lagi kereta pancuan empat roda turut memotong kenderaan orang awam yang sedang merakam video terbabit.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Rata-rata pengguna di media sosial mendoakan supaya urusan pegawai JPJ terbabit dipermudahkan.

“Semoga dipermudahkan urusan pegawai tu, kalau tak pernah rasa kena kejar, kena kepung, kena tunjuk pistol depan mata, orang boleh sembang kencang.

“Bukan semua pegawai bawa senjata, bila macam ni, netizen pergi ketawakan JPJ, come on, sick society dah kita ni,” tulis seorang warga maya.

Ada antara pengguna yang mengakui bahawa situasi kejar mengejar tersebut bukanlah sesuatu yang asing.

“Selalu dah tengok, tu yang hairan, tonto ni kebal undang-undang ke sampai berani ikut atau kejar JPJ,” tulis seorang lagi netizen.

Majoriti kini sedang cuba untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian tersebut dengan pihak JPJ.