Tujuh kompaun RM46 ribu, lima daripadanya tidak imbas MySejahtera
Tidak mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera masih menjadi kesalahan utama dilakukan orang ramai dalam Ops Bersepadu Pematuhan dan Penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Prosedur Operasi Standard Fasa 1 Peringkat Daerah Hilir Perak di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, daripada tujuh kompaun yang dikeluarkan, lima daripadanya merupakan kesalahan tidak mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, dalam operasi hampir lima jam itu, sebanyak lima lokasi dikunjungi melibatkan kilang, restoran, bank dan pasar raya di sekitar Bandar Teluk Intan.
“Operasi kali ini membabitkan 51 penguat kuasa terdiri daripada Polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Tujuh kompaun itu dikeluarkan pihak polis, KPNDHEP, JTK dan KKM melibatkan jumlah keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM46,000,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Adnan berkata, selain pekerja dan pengunjung premis, majikan juga tidak terkecuali dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Akta 466.
Pada 23 Jun lalu, empat peniaga Pasar Awam Teluk Intan dikenakan kompaun kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera menerusi Op Bersepadu Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di pasar awam berkenaan.
Sumber: Sinar Harian