Tuduhan melampau, Ebit Lew yakin ada sekumpulan individu rancang untuk kenakannya

Tuduhan melampau, Ebit Lew yakin ada sekumpulan individu rancang untuk kenakannya

 

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan pertuduhan gangguan seksual terhadapnya sebagai pertuduhan tidak berasas dan melampau yang cuba menjatuhkan kredibilitinya.

Beliau berkata, ini adalah cubaan untuk menghina dan merendahkan maruahnya agar beliau berhenti daripada melakukan kerja-kerja amal bagi membantu golongan yang susah.

“Saya yakin dan percaya perkara ini sesuatu yang sudah dirancang oleh sekumpulan individu dan ia bukan dirancang dalam sehari dua.

“Sebenarnya, saya baru tahu mengenai pendakwaan ini beberapa hari lepas dan saya agak terkejut. Saya datang ke Sabah bukan rancang untuk ke mahkamah, saya dalam misi melakukan kerja amal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berasa amat tenang kerana ketika ini berada dalam misi melakukan kerja amal dan beliau tidak bersalah. Perkara yang berlaku ini adalah cubaan pihak tertentu yang ingin mengganggu kerja amal yang dilakukan.

Menurut beliau, setiap kali berhadapan ujian sebegitu memang terasa sangat berat namun, beliau tahu, itu adalah ujian yang perlu dihadapi.

“Apabila kita ditentang ketika buat kebaikan maka, tidak perlu bersedih kerana ujian yang datang ini sudah menjadi sunat. Walaupun kita berusaha sehabis baik namun, saya rasa bersyukur dengan ujian ini,” katanya.

Ebit berkata, beliau menyerahkan kes pertuduhan terhadapnya kepada peguam beliau.

Pengurusan kes ditetapkan pada 22 April ini bagi penyerahan dokumen yang berkaitan dan perbicaraan dijadualkan pada bulan Jun.

Tambah Ebit, beliau tahu dirinya tidak bersalah, maka, segala ujian yang dihadapi itu akan dilalui dengan tentang.