Letak nota suruh ambil percuma siap bagi galah, tuan pokok dipuji sedekah buah mangga kepada orang ramai

Letak nota suruh ambil percuma siap bagi galah, tuan pokok dipuji sedekah buah mangga kepada orang ramai

 

Tindakan pemilik pokok mangga yang membenarkan orang ramai mengambil buah percuma dari perkarangan rumahnya menerima pujian netizen.

Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, Shafika Razali berkata pokok mangga yang terletak di tepi jalan itu adalah milik ibu bapa mentuanya.

Apa yang mencuri tumpuan, mereka turut menggantung sekeping nota pada pokok itu yang memberi kebenaran kepada orang ramai untuk mengambil buah secara percuma.

“Nok buoh pauh ambik jah, tak payah mitok. Galoh ado tepi pokok (nak buah mangga ambil saja, tak perlu minta. Galah ada tepi pokok),” demikian ayat yang ditulis pada nota itu.

Menurut Shafika lagi, nota itu digantung kerana keluarga mentuanya sedar sesetengah orang segan atau malu untuk meminta daripada pemilik.

“Kebanyakan yang lalu depan rumah asyik tengok-tengok. Mungkin segan nak minta. Kalau tulis begitu, mungkin orang pun tak segan nak ambil.

“Siapa yang duduk kawasan Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, boleh pergi ambil ya. Buah mangga percuma sahaja. Tak perlu minta, galah pun kita sedia.

“Kalau tak ada orang pun, ambil terus je. Daripada membazir (rosak), lebih baik bagi kepada orang,” ujarnya menerusi TikTok.

Dia yang turut tinggal di rumah mentua yang terletak di Pasir Mas, Kelantan, berkata berlaku lambakan buah mangga pada ketika ini kerana musimnya sudah tiba.

Di ruangan komen, ramai netizen memuji sikap pemurah keluarga itu.

Malah, wanita yang sedang berbadan dua juga turut meluahkan rasa teruja kerana kecur air liur melihat buah berkenaan.

“Saya dah la tengah mengandung. Terliur tengok.

“Terbaik, semoga murah rezeki tuan pokok ni.

“MasyaAllah semoga pahala dan rezeki tuannya melimpah ruah.

“Sedapnya, jangan sampai saya ke Pasir Mas semata-mata untuk ambil buah,” komen netizen.